Para peserta demonstrasi menentang ratifikasi ICERD mengusung keranda dan memegang rentang serta sepanduk ketika menyertai demonstrasi penyerahan memorandum tolak ICERD, penghapusan Hak Bumiputera di hadapan Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 31 OKTOBER 2018
KUALA LUMPUR – Gabungan NGO-NGO UMMAH hari ini mengadakan perhimpunan aman di luar bangunan Parlimen bagi membantah ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Lebih 100 peserta daripada lapan badan bukan kerajaan (NGO) Islam menyertai perhimpunan itu di Jalan Parlimen dengan dikawal ketat oleh pihak polis.

Penganjuran demostrasi itu bagi menyatakan kebimbangan masyarakat Malaysia terhadap ratifikasi ICERD dikhuatiri menjejaskan kedudukan kaum Bumiputera dan agama Islam di negara ini.

MGF31102018_PENYERAHAN MEMORANDUM TOLAK ICERD03
Sebahagian peserta memegang sepanduk sebagai bantahan ketika menyertai demonstrasi penyerahan memorandum tolak ICERD di hadapan Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 31 OKTOBER 2018

Para peserta yang berkumpul di monumen Tugu Negara seawal jam 10 pagi tadi masing-masing memegang sepanduk tertera pelbagai mesej bantahan terhadap ICERD.

Antaranya ICERD adalah Malayan Union 2.0, Pertahankan Perlembagaan Negara, Jangan Cabar Perkara 153, Pertahankan Kuasa Raja-Raja, Melayu Sepakat Islam Berdaulat dan Kerajaan Wajib Pertahankan Hak Islam.

MGF31102018_PENYERAHAN MEMORANDUM TOLAK ICERD07
Peserta-peserta memegang kain rentang dan sepanduk ketika menyertai demonstrasi penyerahan memorandum tolak ICERD, penghapusan Hak Bumiputera di hadapan Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 31 OKTOBER 2018

Lebih menarik dalam demostrasi ini apabila segelintir peserta daripada Gabungan NGO-NGO Ummah memikul keranda orang Islam sebagai simbolik kepada bantahan terhadap ICERD.

Sepanjang perhimpunan aman ini, hampir 50 anggota polis ditempatkan sepanjang Jalan Parlimen bagi mengawal keselamatan dan lalu lintas menuju ke bangunan Parlimen. – MalaysiaGazette