Azhar Azizan Harun
Azhar Azizan Harun

PUTRAJAYA – Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun berkata, proses persempadanan semula hanya boleh diadakan lapan tahun sekali seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan

“Seperti saya katakan sebelum ini, kita tidak boleh mengadakan amalan persempadanan semula kawasan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN), kerana ia hanya boleh dilakukan sekali dalam lapan tahun.

“Jika nak buat semula ia akan jadi tidak berperlembagaan, tapi saya ingin menganalisa persempadanan yang baru dibuat sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14),” katanya dalam sidang media di Manara SPR di sini.

Berkata demikian selepas mempengerusikan perbincangan antara SPR dan parti-parti politik berkaitan urusan pendaftaran pemilih yang dihadiri 32 daripada 51 parti politik yang berdaftar.

Ditanya mengenai tujuan analisis itu, jelas Azhar, beliau hendak memberi satu pendapat sama ada persempadanan semula itu adalah adil ataupun mengikut peruntukan undang-undang khususnya Perkara 13 dalam Perlembagaan Persekutun.

“Kalau kita berpendapat ia tidak adil dan tidak megikut Perlembagaan maka saya ingin membuat cadangan tentang bagaimana proses sebenarnya perlu dilakukan.

“Tapi ingat itu sekadar cadangan bukan persempadanan semula..yang mana satu jawatankuasa kena ditubuhkan, yang mana perlu bincang dan ambil pendapat para ahli akademik, statistik dari para perangkawan.

“Ia akan mengambil sedikit masa untuk SPR melakukannya,” ujarnya.

Ditanya sama ada sudah meneliti laporan persempadanan semula yang dilaksanakan sebelum ini, katanya, beliau tidak menelitinya secara mendalam namun berjaji apabila jawatankuasa berkaitan ditubuhkan pihaknya akan meneliti semua aspek yang dilaksanakan itu.- MalaysiaGazette