KUALA LUMPUR – Kerajaan dicadang supaya mewujudkan skim pembayaran gaji dua kali sebulan kepada pekerja sebagai langkah menangani masalah kehabisan gaji pada awal bulan.

Cadangan itu diutarakan oleh Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM) ekoran keluhan ramai pekerja yang terbeban akibat membayar hutang dan keperluan setiap kali menerima gaji.

“Cadangan ini boleh meringankan beban untuk kaum pekerja khususnya mereka yang bekerja setiap hari dan memerlukan wang pada pertengahan bulan.

“Di negara lain seperti Australia dan Eropah pekerja pekerja ini diberi gaji pada setiap minggu.

“Ini juga dapat mengelakan lagi pekerja dari berhutang apabila kesesakan wang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Nufam berkata, kerajaan menerusi Kementerian Sumber Manusia perlu memulakan satu polisi gaji segera bagi membantu pekerja di dalam negara ini.

Katanya, kementerian berkenaan seharusnya mencari jalan untuk membantu pekerja yang kebanyakannya telah terjerumus dengan hutang yang banyak.

Malah, ada juga dalam kalangan pekerja sudah menjadi muflis pada peringkat usia awal apabila mereka sudah bekerja.

“Kita tidak boleh menafikan bahawa keperluan wang itu penting buat mereka yang sentiasa menggunakan gaji untuk bayaran seperti tol, duit minyak dan pembelian barang-barang keperluan rumah.

“Jika adanya skim dan polisi pembayaran gaji yang baru sama sekali ia akan dapat meringankan beban seharian mereka,” ujarnya.

Dalam pada itu, Nufam turut menggesa agar kajian bagi pemberian subsidi tol dan minyak untuk pekerja yang mencari nafkah di tempat yang jauh atau luar bandar diwujudkan.

Ujarnya, pekerja yang perlu membayar tol dan mengeluarkan duit untuk mengisi minyak ke tempat kerja sudah merasa terbeban dengan masalah itu.

“Kami mendapat banyak aduan dari pekerja sehingga tiada duit membayar tol dan minyak.

“Inilah masalah mereka yang mana kerajaan hari ini perlu ambil perhatian.

“Jika dapat sedikit sebanyak subsidi tol ini, ia akan memberi menafaat kepada kaum pekerja terutama sekali mereka yang bertugas di kawasan jauh luar bandar dan di KLIA,” tambahnya.

Dengan memberikan contoh, hampir 10,000 pekerja syarikat penerbangan berulang alik ke tempat kerja tetapi kebanyakan syarikat penerbangan tidak memberikan apa-apa elaun kepada pekerja mereka terutama sekali yang bekerja di KLIA.

“Cuba bayangkan berapa pekerja-pekerja ini harus membelanja untuk tambang dan isi minyak dalam tempoh sebulan,” jelasnya.
– MalaysiaGazette