Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hadir pada majlis Persidangan dan Pengumuman Akademik Sains Malaysia di Sunway Putra Hotel, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 01 NOVEMBER 2018.
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hadir pada majlis Persidangan dan Pengumuman Akademik Sains Malaysia di Sunway Putra Hotel, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 01 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Projek kereta nasional ketiga akan menjadi permulaan yang baik bagi kerajaan Malaysia untuk menyediakan beberapa strategi dalam Dasar Kebangsaan mengenai Industri 4.0 atau dikenali sebagai Industri4WRD.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, projek itu akan disokong oleh Akademi Sains Malaysia (ASM) bagi memudahkan pendekatan rangkaian kerjasama dengan memberikan input ke arah menjadikannya sebagai kenyataan.

“Saya percaya Malaysia mempunyai kedudukan yang baik untuk menyahut cabaran ini kerana kerajaan berupaya dengan pengetahuan dan inovasi dalam menggerakkan industri automotif.

“Malaysia cukup maju dengan ilmu sains, teknologi dan inovasi, justeru kita mempunyai keupayaan mengeluarkan kereta nasional pertama pada 1980-an,” katanya berucap pada majlis Persidangan dan Pengumuman Akademi Sains Malaysia hari ini.

Menurut Perdana Menteri, sains dan teknologi yang bergerak lebih pantas daripada pentadbiran sesebuah negara menyebabkan kerajaan terpaksa membuat undang-undang mengawal aplikasi teknologi baharu.

Beliau turut menyatakan, dalam era intensif data masa kini, sains perlu merangkul paradigma perusahaan secara terbuka bukan lagi terperap dalam makmal atau perpustakaan.

Ini kerana katanya, peralihan kepada akses data akan mempercepatkan penemuan saintifik dan aplikasi dalam mencipta teknologi baharu.

“Ini akan membabitkan penglibatan yang berkesan dan aktif antara perniagaan, kerajaan, pembuat dasar, komuniti dan rakyat sebagai rakan kongsi pengetahuan dalam menghadapi cabaran utama.

“Sebenarnya, terdapat banyak bidang yang memberi manfaat daripada pendekatan sains terbuka ini, seperti penjagaan kesihatan, pertanian, mengurangkan kesan karbon, keselamatan dan pengurusan sumber,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan