nufam
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan diminta melaksanakan audit keselamatan di tempat kerja syarikat penerbangan dalam negara pada setiap waktu. bagi memastikan pelaksanaan polisi keselamatan pekerja lebih teratur.

Audit yang sama juga perlu dilakukan terhadap pesawat-pesawat yang dimiliki oleh syarikat-syarikat penerbangan.

Ia kerana insiden keselamatan di syarikat penerbangan masih berada di tahap yang membimbangkan apabila ada pekerja pekerja bahagian kru kabin, juruterbang dan bahagian teknikal jurutera terpaksa bekerja lebih masa atas sebab kekurangan kakitangan.

Sekretariat Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan (NUFAM) berkata, bahagian yang paling ketara adalah teknikal dan kejuteraan kerana bahagian inilah yang akan mengurus setiap aspek operasi keselamatan pesawat.

Menurutnya, kesatuan itu ada menerima banyak aduan dari pekerja mengenai isu jadual, kekurangan kakitangan dan isu bekerja lebih masa tanpa bayaran.

“Bahagian teknikal termasuk juruterbang juga mempunyai masalah sesak jadual yang mana ada di antara mereka terpaksa bekerja lebih masa tanpa cuti atau rehat yang secukupnya.

“Isu dan masalah ini bukan baru kerana ada kalanya syarikat penerbangan tidak mempunyai kakitangan yang cukup bagi mengendalikan operasi pesawat apatah lagi apabila masalah kakitangan tidak mencukupi.

“Selain itu, ada pesawat digunakan secara lebih kerap kerana kekurangan pesawat,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

NUFAM berkata, kejadian nahas pesawat Lion Air baru-baru ini harus memberi kesedaran kepada semua pihak di dalam industri penerbangan terutama sekali agensi keselamatan negara.

Syarikat-syarikat penerbangan juga tidak boleh terlampau leka dan selesa kerana insiden pesawat boleh berlaku pada bila- bila masa.

“Pihak audit agensi keselamatan mesti bersiap siaga kerana isu teknikal adalah isu yang tidak boleh dielak atas sebab kegunaan pesawat ini sentiasa bergerak 24 jam atau 365 hari.

“Mana-mana syarikat penerbangan juga tidak boleh menyatakan kapal mereka itu canggih dan baharu kerana kemalangan pesawat itu boleh berlaku pada bila-bila masa.

“Kalau dilihat rekod insiden yang berlaku sejak beberapa tahun ini, ada beberapa elemen lain boleh menyebabkan kemalangan nyawa penumpang dan kru pesawat iaitu bencana alam, kesilapan manusia dan juga segi teknikal pada pesawat,” ujarnya.

Tambahnya, walaupun ada pesawat yang telah melalui ujian maksimum tetapi disebabkan telah digunakan secara lasak, ia tidak boleh bertahan lama.

“Sebab itu wujud isu skru kapal longgar ataupun retak kecil di badan pesawat hingga boleh membawa kesan yang amat buruk kepada pesawat tersebut.

Kami juga mendapati ada pesawat akan mengalami masalah teknikal selepas ia berlepas,” katanya yang berharap isu-isu kejuruteraan tidak lagi dikompromi. – MalaysiaGazette