PUTRAJAYA – Bekas Pengarah Bahagian Visa, Pas dan Permit (VPP) Jabatan Imigresen  ditahan reman selama tujuh hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

Tahanan reman ke atas suspek berusia 47 tahun itu berkuatkuasa hari ini sehingga 7 November ini untuk membantu siasatan berkaitan dakwaan penerimaan rasuah melibatkan nilai jutaan ringgit.

Turut direman dua lagi kakitangan penguatkuasa Imigresen berusia 46 dan 59 tahun yang dihadapkan bersama bekas pengarah itu di Majistret Putrajaya 9 pagi tadi.

Timbalan Pendakwaraya SPRM Amira Sariaty Zainal memohon perintah reman ke atas ketiga tiga individu itu untuk proses soal siasat lanjut.

Pegawai Penyiasat kes berkenaan ialah Hairul Hafiz Bohari.

Majistret Shah Wira Abdul Halim membenarkan perintah reman yang dipohon ke atas ketiga tiga suspek direman sehingga 7 November ini.

SPRM ketika dihubungi MalaysiaGazette berkata, ketiga-tiga individu telah ditangkap di rumah masing masing.

Suspek kedua berusia 46 tahun itu merupakan pemandu Bahagian Korporat Imigresen Putrajaya manakala suspek ketiga berusia 59 tahun pula kakitangan bahagian pengkeranian dan operasi Bahagian Visa, Permit dan Pas Imigresen Putrajaya.

Ketiga-tiga suspek tidak diwakili peguambela.

“Maklumat yang diterima SPRM, mengatakan pada 2015 dan 2016, bekas pengarah tersebut bersama beberapa pegawai bahagian itu disyaki telah menerima rasuah daripada ejen-ejen yang menguruskan pas lawatan sosial bernilai jutaan ringgit.

“Tindakan itu sebagai alasan untuk memudahkan kelulusan permohonan pas lawatan sosial daripada Jabatan Imigresen Malaysia,” katanya menerusi mesej pesanan WhatsApp sebentar.

Ketiga-tiga suspek disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.- MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan