Azhari Shaari
Azhari Shaari

KUALA LUMPUR – Belanjawan 2019 yang pertama Pakatan Harapan (PH) yang akan dibentangkan di Parlimen esok diharap dapat mengurangkan keresahan rakyat.

Ini kerana, menurut Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari, banyak khabar angin yang kurang menyenangkan bermain di media sosial seperti kenaikan harga gas memasak dan bonus kakitangan awam yang mungkin tidak akan diberikan oleh kerajaan PH.

Katanya, soal subsidi atau memanjakan rakyat tidak sepatutnya ditimbulkan kerana tidak semua rakyat lahir dan menjalani kehidupan dengan nasib yang sama.

“Kita berbeza dari segi pendekatan hidup yang bermula sejak kita menerima pendidikan awal. Hari ini siapa yang mempunyai pendidikan yang baik akan mempunyai pendapatan yang baik.

“Bagaimana pula dengan rakyat yang tidak mempunyai pelajaran dan kemahiran yang memungkinkan mereka menyara hidup seperti golongan berpoket tebal,” katanya dalam kenyataan yang dimuatnaik menerusi akaun facebooknya hari ini.

Menurut Azhari, begitu juga golongan petani dan peladang yang bergelut dengan kejatuhan harga kelapa sawit dan getah sejak kebelakangan ini.

“Takkan dengan mudah kita menafikan hak golongan yang menjana ekonomi negara ini untuk dibantu di kala mereka susah,” ujarnya.

Beliau berkata, ketika Barisan Nasional (BN) mentadbir negara ini, semua rakyat menerima sentuhan bajet yang memenuhi makna merakyatkan ekonomi.

Katanya, rakyat mendapat manfaat dari Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Bantuan Awal Persekolahan RM100, Skim Latihan 1Malaysia, Bantuan Untuk Petani dan Nelayan musim bencana alam, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), TEKUN dan pelbagai lagi geran dari kementerian.

“Bonus yang diterima kakitangan awam juga amat membantu rakyat menyediakan keperluan sekolah anak-anak.

“Kita di UMNO Bahagian dan Selangor tidak pernah lupa menyampaikan bantuan peralatan dan pakaian sekolah Back To School kepada golongan miskin bandar.

Justeru, beliau berharap Belanjawan 2019 lebih bersifat holistik, bukan hanya menumpukan kelompok atau negeri tertentu sahaja.

“Kemiskinan dan kesusahan bukan sesuatu yang diinginkan, oleh itu bantulah rakyat kerana dasar ekonomi luar dari kawalan mereka,” katanya. – MalaysiaGazette