Penerbit dan pelakon Datuk Hans Isaac.
Hans Isaac

KUALA LUMPUR – Datuk Hans Isaac mengakui telah menghadiri sesi temuduga untuk jawatan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bersama Menteri Komunikasi Dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

“Saya akui memang nama saya antara yang telah disenarai pendek bersama beberapa calon lain,” katanya.

Bersedia untuk menggalas tanggungjawab tersebut, penerbit dan pelakon itu berhasrat untuk mengubah keseluruhan dasar FINAS untuk kebaikan semua penggiat seni termasuk artis veteran.

Hans turut mendedahkan membentangkan 15 manifesto kepada Gobind ketika ditemuduga.

“Kalau saya dipilih untuk menggalas jawatan ini, perkara utama yang akan saya lakukan adalah mengubah keseluruhan dasar FINAS. Mungkin ada orang industri yang tidak akan sukakan saya nanti.

“Misalnya, paling penting adalah mengenai kebajikan anak seni dan artis veteran. Mengenai penukaran semua dasar ini, saya lakukan adalah berdasarkan pengalaman dalam industri selama 25 tahun dengan pelbagai perkara yang telah saya lalui,”katanya.

Beliau sebelum ini pernah berasa kecewa dengan industri serta dikatakan tidak layak untuk jawatan tersebut kerana dikatakan pernah menggunakan dana FINAS untuk penerbitan teater muzikalnya, Hans menegaskan, beliau langsung tidak mengambil satu sen duit daripada perbadanan tersebut.

Ujar Hans, pihak peguamnya juga telah bertemu dengan penulis sebuah blog yang membuat dakwaan berkenaan dan percaya ia dilakukan oleh individu yang tidak senang dengan dirinya.

Sebelum ini jawatan Pengerusi FINAS dipegang oleh Datuk Seri Azalina Othman Said.-MalaysiaGazette