Jumlah kelahiran di China dijangka terus merosot. foto China Daily

SHANGHAI – Kadar kelahiran di China terus merosot tahun ini dan dijangka berterusan untuk tahun-tahun akan datang meskipun negara itu telah melonggarkan polisi seorang anak.

Walaupun kadar kelahiran naik pada paras tertinggi sejak tahun 2000 pada 2016, namun angka itu susut 3.5 peratus tahun lalu.

Angka itu dijangka merosot pada tahun ini, menurut laporan China Daily yang memetik Zhai Zhenwu, pakar populasi di Universiti Renmin, China.

Jumlah kelahiran di Jiangsu, di timur China – wilayah yang memiliki populasi tinggi menurun 12.8 peratus pada separuh pertama 2018.

Malah, tinjauan di hospital-hospital di wilayah Sichuan juga menunjukkan kadar kelahiran yang rendah.

China telah melonggarkan polisi satu anak bagi setiap keluarga pada tahun 2016 selepas melaksanakannya hampir empat dekad susulan peningkatan warga emas.

Laporan awal tahun ini memaklumkan China sedang merancang untuk memansuhkan semua had pada bilangan anak yang boleh dimiliki oleh keluarga pada akhir tahun ini.

Penduduk warga China dijangka mencapai 400 juta menjelang akhir tahun 2035, meningkat daripada 240 juta tahun ini, meletakkan perkhidmatan kesihatan dan dana pencen negara di bawah tekanan besar, menurut data yang diterbitkan tahun lalu oleh Persatuan Keselamatan Sosial China, sebuah kumpulan penyelidikan. – MalaysiaGazette