KUALA LUMPUR – Penyertaan bekas anggota sebuah parti ke parti yang lain adalah perkara biasa dalam arena politik dan tidak menjadi isu besar, kata Pengerusi PPBM Kelantan, Datuk Kamaruddin Mohd Noor.

Jelas beliau, Parti Amanah Negara (PAN) yang ditubuhkan untuk individu yang kecewa tidak puas hati terhadap kepimpinan Pas, PPBM juga sedemikian matlamat awalnya iaitu mahu menggantikan UMNO.

Bukan sahaja PAN, malah PKR, Parti Gerakan juga ditubuhkan atas sebab dan corak pergerakannya sama, tambah beliau lagi.

“Memang kita tubuh PPBM kerana kita kecewa dengan pimpinan UMNO pada masa itu masa Datuk Seri Najib Razak memimpin, dengan kegiatan merompak harta negara, itu satu daripada sebabnya. kepimpinan UMNO main angguk sahaja, yang menegur kena pecat.

“UMNO sudah tidak boleh dibaiki lagi, dan perlu ada parti baru untuk mereka yang tidak puas hati dengan UMNO.Jadi sewajarnya dia (yang kecewa dengan UMNO) menyertai PPBM).

“Demikian juga dengan Amanah, Amanah juga tertubuh daripada ketidakpuasan hati dengan Pas, PKR juga, demikian juga Parti Gerakan yang masa itu tidak puas hati dengan kepimpinan MCA.

“Jadi ini semua satu perkara yang saya fikir menjadi suatu yang biasa berlaku dalam pertumbuhan percambahan parti politik,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Sehubungan itu rakan-rakan dalam Pakatan Harapan, ujarnya, tidak perlu bimbang kerana PPBM sudah tentu juga akan berhati-hat dalam menerima bekas anggota UMNO.

“Jadi saya rasa rakan-rakan dalam Pakatan Harapan tidak perlu gusar kita memang berhati-hati kita pastikan, kita pimpinan yang ada akan terus mengambil tempat dalam kedudukan memimpin parti,” tambahnya.

Timbalan Presiden PAN Datuk Salahudin Ayub hari ini berkata parti komponen PH harus berhati-hati dalam menerima mana-mana ahli parlimen yang melompat parti.

Kata Timbalan Presiden Amanah, Datuk Salahudin Ayub, PH harus memperkuatkan ketegasan dan prinsip samada untuk menerima atau tidak golongan itu.

Beliau tidak mahu Pakatan Harapan pada akhirnya dikatakan sebagai parti destinasi pelarian politik.

Beliau berkata demikian merujuk kepada pendedahan Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Datuk A Kadir Jasin bahawa emungkinan 40 lagi Ahli Parlimen UMNO akan keluar parti untuk menyertai PPBM mengikuti jejak Datuk Seri Mustapha Mohamed. -MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan