Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa
Dr. Mujahid Yusof

KUALA LUMPUR – Kenyataan Datuk Dr. Mujahid Yusuf Rawa bahawa mahkamah wajar mempertimbangkan faktor mitigasi dan agravasi terhadap pesalah hukuman sebat syariah sebelum menjatuhkan hukum disifatkan tidak wajar.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu juga di Parlimen semalam menyatakan kerajaan Persekutuan tidak berniat untuk campur tangan urusan bidang kuasa kerajaan negeri.

“Mujahid telah memberi maklum balas terhadap perbahasan saya berkenaan Kajian Separuh Penggal RMK-11 yang menyentuh mengenai hukuman sebat syariah.

“Menteri itu memaklumkan kepada dewan, kerajaan Persekutuan tidak berniat untuk campur tangan urusan bidang kuasa kerajaan negeri, cuma dalam kenyataan media yang dikeluarkan sebelum ini, beliau hanya mahu memberikan pandangan bahawa mahkamah sewajarnya mempertimbangkan faktor mitigasi dan agravasi terhadap pesalah sebelum menjatuhkan sesuatu hukuman.

“Saya berpendapat kenyataan sedemikian tidak wajar keluar dari seorang menteri kerana ia hanya menunjukkan beliau gagal memahami proses perundangan yang lazim dilakukan di mahkamah syariah di mana sudah menjadi kewajipan seorang hakim untuk melakukan pertimbangan berdasarkan fakta kes sebelum menjatuhkan sesuatu hukuman,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Amzad Hashim
Ahmad Amzad Hashim

Menurut Ahmad Amzad, kenyataan itu hanya memberikan persepsi salah kepada masyarakat seolah-olah hakim menjatuhkan hukuman sebat terhadap kesalahan jenayah yang tidak sepatutnya.

Sedangkan, kata beliau, hakim perlu bebas membuat keputusan mengikut kebijaksanaannya selagi mana tiada salah laku dan tidak bersalahan dengan undang-undang.

Katanya, dalam keadaan mahkamah telah pun melaksanakan peruntukan yang ada dengan cermat dan disaksikan hadirin yang lega serta berpuas hati dengan pelaksanaan, komen menteri itu dilihat sebagai mengandungi unsur berprasangka dalam keadaan beliau sendiri tiada di tempat kejadian dan sekadar mengulangi tohmahan liar yang tidak berasas.

“Reaksi pertama beliau sepatutnya hanya boleh dibuat selepas laporan keseluruhan fakta kes sampai ke dalam pengetahuan beliau, dan perlu dilakukan secara berhati-hati agar tidak menjejaskan integriti mahkamah syariah.

“Penting untuk umum memahami, walaupun di mahkamah sivil hukuman sebatan hanya dijatuhkan ke atas pesalah bagi jenayah berat atau penjenayah tegar, mana mungkin perundangan syariah disamakan dengan perundangan sivil.

“Pertimbangan yang sama tidak boleh dilakukan oleh hakim mahkamah syariah kerana sifat sebatan itu sendiri sudah berbeza,” katanya.

Beliau berkata, di mahkamah syariah, hukuman sebatan bertujuan untuk mendidik, bukan menghukum seperti di mahkamah sivil.

Oleh itu, jelasnya, keputusan yang dijatuhkan oleh hakim mahkamah syariah tidak boleh dilihat dari sudut perundangan sivil.

“Saya setuju tidak salah untuk beliau memberi pandangan sebagai rujukan dan tambah baik pada masa hadapan, namun begitu tidak wajar bagi seorang menteri membuat pandangan balas yang memberikan persepsi yang salah kepada hakim syarie yang menjalankan tugas mengikut kuasa dan lunas undang-undang.

“Mujahid perlu menguasai bidang tugas dan prosedur institusi dan agensi agama yang berada di bawah jagaannya sebelum memberikan pandangan yang bersifat peribadi dan prejudis hanya kerana ianya tidak mengikut nilai keadilan yang sama dengan undang-undang sivil,” katanya. – MalaysiaGazette