Mohd Razlan Rafii
Mohd Razlan Rafii

KUALA LUMPURĀ – Budaya pemimpin UMNO yang memegang jawatan dalam kerajaan terdahulu menyumbang dana kepada kumpulan sendiri sebenarnya menyebabkan parti Melayu itu miskin setelah tidak berkuasa hari ini.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd. Razlan Muhammad Rafii mendakwa, bekas-bekas menteri UMNO gagal memberi sumbangan dana kepada parti sebaliknya mengutamakan kumpulan dalam pemilihan parti itu.

“Mereka ini sepatutnya membantu parti mencari dana untuk disimpan di kala perlu, semua sudah lupa kerana jawatan itu lebih penting daripada parti.

“Mereka lupa dan alpa dengan kuasa dan jawatan yang dinikmati sehingga mementingkan kumpulan mereka daripada masa depan parti.

“Nah, hari ini UMNO sudah menjadi miskin dek kerana kepimpinan tidak mengamalkan sikap kebersamaan menyumbang kepada parti.

“Menangis air mata darah sekalipun, sukar untuk kita mendapat semula harta UMNO dan tidak akan mendapat berbillion daripada pemimpin yang sudah kaya-raya,” katanya kepada MalaysiaGazette, malam semalam.

Mohd. Razlan juga berkata, ada pemegang amanah aset UMNO didakwa membawa lari amanah tersebut dan lebih malang ia digunakan untuk berjoli.

“Pemegang amanah kepada aset UMNO juga dikhbabarkan sudah buat-buat tidak tahu dan ada di antaranya sudah membawa lari amanah yang sepatutnya dipegang, ada juga yang telah berjoli dengan aset UMNO.

“Mereka ini semua pengkhianat kepada Melayu pribumi,” tegasnya.

Bagaimanapun beliau tidak menafikan masih ada pemimpin UMNO seperti Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi terus menyumbang kepada parti demi menaikkan semangat akar umbi.

“Ada yang perlu kita berterima kasih kerana sumbangan beliau untuk melihat UMNO ini terus bernafas.

“Namun sepatutnya, lebih ramai tampil ke hadapan membantu parti, bekas-bekas menteri, timbalan menteri adalah kumpulan pertama sepatutnya tampil ke depan untuk menyumbang kepada parti keramat ini, menaikkan semangat akar umbi,” katanya.

Beliau turut berkata, pemimpin-pemimpin UMNO perlu mengaku kesilapan sendiri kerana sikap mementingkan diri sendiri menyebabkan nasib parti Melayu itu hari ini bagaikan telur di hujung tanduk.

“Sekiranya semangat kita kuat seperti pejuang-pejuang UMNO yang sebelumnya, tidaklah UMNO terbangsat di Bumi Tanah Melayu ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette