Dua anggota Parlimen dari Negeri Sembilan menafikan akan meninggalkan UMNO dalam masa terdekat seperti mana yang tular di media sosial.
Dua anggota Parlimen dari Negeri Sembilan menafikan akan meninggalkan UMNO dalam masa terdekat seperti mana yang tular di media sosial.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 4 Dis untuk mendengar permohonan UMNO supaya Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengemukakan dokumen berhubung sitaan wang milik parti itu di sebuah premis di Pavilion Residences di sini, Mei lepas.

Permohonan penzahiran dokumen itu adalah berhubung dengan saman difailkan UMNO melalui pegawai awamnya Datuk Seri Abd Rauf Yusoh terhadap PDRM dan kerajaan membabitkan tuntutan RM116.7 juta milik parti berkenaan yang didakwa disita oleh polis.

Peguam Datuk Hariharan Tara Singh yang mewakili UMNO berkata permohonan anak guamnya akan didengar di hadapan Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pengurusan kes berkenaan di dalam kamar Timbalan Pendaftar Rumaizah Baharom yang turut dihadiri Peguam Persekutuan Mohammad Sallehuddin Md Ali bertindak bagi pihak PDRM dan kerajaan.

Dalam permohonan penzahiran dokumen yang difailkan pada 3 Okt lepas, Abd Rauf turut memohon untuk mendapatkan salinan laporan polis yang menjadi asas sitaan berkenaan, salinan senarai wang dan gambar wang yang disita, salinan semua gambar yang disita dan rajah kasar penemuan wang yang disita.

Hariharan juga berkata mahkamah turut menetapkan tarikh sama (4 Dis) untuk pengurusan kes selanjutnya bagi saman berkenaan dan permohonan PDRM dan kerajaan untuk membatalkan saman itu.

Peguam itu berkata pihaknya juga telah menerima permohonan PDRM dan kerajaan untuk membatalkan saman berkenaan dua hari lepas (30 Okt).

Sementara itu, Mohammad Sallehuddin ketika dihubungi pemberita memaklumkan bahawa anak guamnya memohon membatalkan saman tersebut pada 29 Okt lepas atas alasan UMNO tidak mempunyai locus standi atau kedudukan di sisi undang-undang untuk memfailkan tindakan saman berkenaan.

Pada 21 Sept lepas, UMNO melalui Abd Rauf memfailkan saman dengan menamakan Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Mohd Sakri Arifin, Penolong Pesuruhjaya Polis JSJK R.Rajagopal, Pengarah JSJK Bukit Aman Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh, Ketua Polis Negara dan kerajaan sebagai defendan pertama hingga kelima.

Dalam penyataan tuntutannya, UMNO antara lain memohon perisytiharan bahawa penggeledahan dan penyitaan yang dilakukan di Tower B, Pavilion Residences, Jalan Raja Chulan pada 17 Mei lepas adalah salah di sisi undang-undang dan mencabuli hak-hak parti berkenaan.

Plaintif juga memohon perintah supaya wang RM116.7 juta dan wang RM43.3 juta yang juga didakwa milik parti itu dipulangkan kepada mereka selain menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan.

Dakwa plaintif tindakan kesemua defendan itu menyebabkan UMNO kehilangan hak untuk menggunakan dana terbabit serta mengalami kehilangan dan kerugian.

— BERNAMA