KUALA LUMPUR – Petronas LNG Ltd. (PLL) berjaya melaksanakan operasi bekalan gas asli cecair (LNG) yang pertama di Terminal Regasifikasi Pengerang (RGTP) baru-baru ini.

Ia susulan perjanjian antara PLL dan Uranos Vermögensverwaltungs GmbH & Co. KG, syarikat usaha sama Bernhard Schulte dan Babcock International.

Operasi memindah LNG ke kapal LNG Bunker (LBV) yang terbesar di dunia, Kairos dengan kapasiti 7,500 meter padu dijalankan di jeti RGTP.

Kairos berlepas dari Limbungan Hyundai Mipo, Ulsan, Korea Selatan, dan menerima bekalan LNG dari PLL, dalam perjalanan ke Eropah.

Ketua Pegawai Eksekutif Petronas PLL, Ezhar Yazid Jaafar berkata, peluang LNG berskala kecil akan meningkat daripada penggunaan bahan api bersih alternatif seperti LNG.

Peraturan baharu sebanyak 0.5 peratus bagi had sukfur global yang akan dikenakan oleh Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) pada Januari 2020, bakal menjadikan LNG bahan bakar alternatif pilihan untuk industri perkapalan.

Fleksibiliti RGTP dalam operasi tambah nilai dan keupayaan untuk menerima kapal LNG kecil, meletakkan kedudukan Petronas sebagai antara peserta hadapan dalam segmen kapal LNG untuk memenuhi landskap perubahan pasaran bahan api marin.

Operasi LNG yang pertama itu mengesahakan peranan Petronas dalam memacu pertumbuhan LNG di rantau ini. – MalaysiaGazette