KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menangguhkan penggunaan Sistem Indeks Kualiti Program Nadi Ilmu Amalan Membaca (IQNILAM) bagi tahun 2018.

Keputusan itu diambil bagi membolehkan semakan dan penambahbaikan sistem itu secara menyeluruh selepas ini.

Dalam kenyataan hari ini, KPM berkata, tindakan penangguhan sistem itu menyusul selepas menerima saranan dan permintaan dari pihak luar supaya ia dihapuskan.

“KPM ada menerima saranan pelbagai pihak termasuk Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Semenanjung supaya pengisian IQNILAM dihapuskan bagi meringankan beban para guru.

“Oleh demikian KPM memutuskan untuk menangguhkan penggunaan sistem ini bagi tahun 2018 untuk disemak dan ditambahbaik semula secara menyeluruh.

“Susulan keputusan itu juga, KPM akan menambah baik sistem perekodan dalam buku rekod NILAM supaya lebih mesra pengguna.

“Justeru, para guru boleh mengisi data pada bila bila masa dan tidak terikat dengan tempoh empat bulan sekali yang mana hanya perlu memasukkan tiga data bacaan murid sahaja iaitu bilangan buku, bilangan bukan buku dan aktiviti susulan.

“Susulan penangguhan itu, satu garis panduan baharu berkaitan pelaksanaan IQNILAM akan dikeluarkan dalam waktu terdekat dengan mengambil kira kesan kepada beban tugas guru,” kata kenyataan hari ini.

Tambah KPM lagi, selepas ini, guru guru tidak perlu membuat sebarang pengiraan kerana ia dijana secara automatik.

Bagi pengurusan Pusat Sumber Sekolah (PSS) pula kementerian berkata, bilangan fail yang perlu dikendalikan juga dikurangkan daripada 10 fail kepada tiga fail sahaja iaitu Fai Pengurusan PSS, Fail Aktiviti PSS dan Buku Stok.

KPM juga dalam perkembangan berkaitan menegaskan bahawa Guru Penyelars Bestari/ Teknologi Komunikasi Maklumat tidak perlu mengendalikan fail fail pembestarian sekolah secara berasingan memandangkan fail fail yang telah diwujudkan dalam sistem fail sekolah sekarang sudah memadai.

Untuk pengetahuan Program Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM) telah diperkenalkan pada tahun 1998 dan ia merupakan salah satu usaha Kementerian Pendidikan Malaysia(KPM) bagi membudayakan tabiat membaca, menerapkan budaya ilmu dan melestarikan budaya membaca sepanjang hayat dalam kalangan murid.

Kaedah perekodan ini telah ditambahbaik secara berterusan termasuk berpindah dari kaedah manual kepada penggunaan sistem atas talian.- MalaysiaGazette