Penyanyi, Azharina Azhar semasa ditemubual pada majlis Pelancaran Jenama Azhar Zainal di Loka Malaysia, NU Sentral, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 15 OGOS 2018.

KUALA LUMPUR – Gegar Vaganza Musim Ke-5 (GV5) minggu kelima Ahad lalu mendapat perhatian umum apabila salah seorang pesertanya, Zamani Slam tidak dapat menyanyikan langsung lagu yang ditugaskan kepadanya kerana kehilangan suara.

Namun Zamani tetap berdiri di pentas dari mula lagu dimainkan sehingga habis namun uniknya ia dinyanyikan oleh peminatnya dan hadirin yang datang.

Ekoran itu, keputusan dibuat untuk menyingkirkannya namun penaja Datuk Aliff Syukri menggunakan imunitinya untuk mengekalkan penyanyi lagenda yang dikasihi ramai itu.

Ada yang melontarkan pelbagai pendapat masing-masing berkenaan imuniti yang diberikan kepada Zamani hingga menyelamatkannya dari tersingkir.

Mengulas isu tersebut, juara GV3, Azharina Azhar menyatakan akan tetap meneruskan perjuangan sekiranya mengalami situasi yang sama dengan Zamani.

Azharina berkata, dalam situasi berkenaan apa yang lebih penting adalah mencari jalan supaya dapat segera sembuh daripada penyakit yang dialami.

“Bagi saya ini adalah satu peluang yang tidak harus dilepaskan. Kalau zaman saya bertanding dulu, memang tiada imuniti yang diberikan kepada para peserta.

“Jadi, kalau saya berada dalam situasi seperti Zamani sekarang, saya akan segera dapatkan rawatan yang terbaik. Selain itu, sentiasa berdoa kepada Allah supaya dijauhkan daripada perkara yang tidak elok,” jelasnya.

Bagaimanapun Azharina bersimpati dengan apa yang berlaku kepada Zamani.

Namun dalam masa yang sama  beliau menasihati penyanyi Gerimis Mengundang itu untuk mempersiapkan diri daripada segi mental dan fizikal untuk menamatkan GV5.

“Sejujurnya, saya ada memberitahu kepada pengurus Zamani kalau hendak sertai pertandingan sebegini mental dan fizikal kena kuat. Saya katakan ini berdasarkan pengalaman yang sudah dilalui sebelum ini.

“Namun, semua yang berlaku ini adalah adat bertanding dan ia adalah perkara normal. Saya akui dugaan menyertai Gegar Vaganza memang hebat dan hanya yang pernah sertai sahaja yang tahu,” ujarnya. – MalaysiaGazette