Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata, salah satu perkara yang diberi perhatian selepas menerima jawatan menteri ialah berkenaan penghapusan tol seperti yang dijanjikan.
Arkib MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR- Kerajaan akan membekukan kenaikan bayaran tol di semua lebuhraya dalam bandar pada tahun 2019 yang melibatkan implikasi kewangan yang dianggarkan sebanyak RM700 juta.

Selain itu, kerajaan juga akan memansuhkan tol motosikal di Jambatan Pertama dan Kedua di Pulau Pinang, serta Lebuhraya Laluan Kedua di Johor dengan implikasi kewangan dianggarkan sebanyak RM20 juta setahun mulai 1 Januari 2019, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Bagi meningkatkan boleh guna isi rumah dengan beralih daripada pemilikan kereta kepada penggunaan pengangkutan awam kerajaan memperuntukkan RM240 juta untuk memberikan pas perjalanan bulanan RM100 tanpa had perjalanan yang meliputi perkhidmatan rel dan bas RapidKL mulai 1 Januari depan.

Pas bulanan sebanyak RM50 tanpa had perjalanan bagi bas RapidKL sahaja juga disediakan.

Kempen ini akan diperluaskan bagi meliputi syarikat bas lain secara berperingkat.

“Skim ini akan meningkatkan pendapatan boleh guna isi rumah sebanyak beberapa ratus ringgit sebulan,” katanya semasa membentangkan Belanjawan 2019 di Parlimen hari ini.

Melalui Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB), kerajaan akan menyediakan Tabung Pengangkutan Awam dengan dana RM500 juta yang menawarkan insentif subsidi kadar faedah sebanyak dua peratus kepada teksi dan syarikat bas serta pengendali pengangkutan awam. – MalaysiaGazette