Wan Saiful Wan Jan.
Wan Saiful Wan Jan

KUALA LUMPUR – Pengumuman Belanjawan 2019 selaras dengan agenda reformasi dalaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan berkata, pengumuman yang dibuat oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng hari ini memenuhi permohonan pihaknya kepada beliau sebelum ini.

“Saya ucapkan terima kasih kepada pasukan beliau yang tidak jemu-jemu berbincang dengan kami, dan juga kesudian berbincang secara langsung dengan saya beberapa kali, untuk berbincang mengenai bagaimana Belanjawan 2019 boleh mempercepatkan
penambahbaikan PTPTN.

“Saya akan segera bertemu pengurusan PTPTN untuk membincangkan jadual sesi bertemu pemegang taruh dan juga mekanisme pelaksanaan perkara-perkara yang telah diluluskan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Wan Saiful, pada tahun depan, PTPTN akan melaksanakan pembayaran balik dengan cara potongan gaji berjadual antara dua hingga 15 peratus daripada pendapatan bulanan peminjam bergantung kepada paras
pendapatan peminjam.

Jadual pembayaran balik itu hanya terpakai kepada peminjam berpendapatan melebihi RM1,000 sebulan dan pelepasan cukai kepada syarikat yang membantu menyelesaikan baki pinjaman pekerja bagi tahun berakhir 2019, katanya.

Layanan pelepasan cukai pendapatan individu bagi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) dinaikkan daripada RM6,000 kepada RM8,000 melibatkan potongan pinjaman kepada pelajar daripada isi rumah B40 yang mendapat keputusan kelas pertama; dan menghapuskan baki hutang kepada peminjam yang berusia 60 tahun dan ke atas dan berpendapatan kurang daripada RM4,000 sebulan yang memanfaatkan 350 peminjam dengan kos RM4.2 juta.

“Semua ini adalah sebahagian daripada agenda reformasi yang sedang kami usahakan di PTPTN, terutama dalam rangka memastikan bebanan hutang amat tinggi yang kami warisi daripada kerajaan terdahulu dapat diselesaikan.

“Saya mengambil pendekatan serampang dua mata iaitu mengembalikan peranan PTPTN sebagai sebuah tabung pendidikan sesuai dengan nama dan niat asal penubuhan badan ini.

“Sepak terajang politik selama ini menyebabkan PTPTN lebih dikenali sebagai sebuah agensi pemberi pinjaman. Ini merupakan penyelewengan daripada peranan yang
lebih lestari dan lebih baik untuk rakyat, iaitu sebagai agensi penabungan,” katanya lagi.- MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan