Mohd Khairuddin Aman Razali
Mohd Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR – Belanjawan 2019 yang dibentangkan Pakatan Harapan (PH) hari ini disifatkan Pas sebagai sindiran kepada pengundi di Pantai Timur yang tidak menyokong mereka pada PRU-14, kata Datuk Khairuddin Aman Razali.

Menurut Ahli Parlimen Kuala Nerus, tiada peruntukan pembangunan yang diberikan kepada negeri-negeri Pantai Timur sebaliknya parti itu hanya menumpukan untuk penduduk di bandar sahaja.

“Tidak ada unsur wow lebih ketara bajet pembangunan untuk Pantai Timur tidak ada, mengecewakan.

“Bajet kali ini adalah hadiah kepada orang di bandar yang menyokong PH dan satu sindiran kepada orang-orang Melayu di Kelantan, Terengganu dan Pahang yang solid memberikan sokongan kepada UMNO dan Pas,” kataya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen petang tadi.

Justeru, menurut Khairuddin, PH gagal membuktikan parti mereka mengamalkan keadilan seperti yang diperjuangkan sebelum ini.

“Jadi di mana keadilan yang dilaung-laungkan? Jadi saya rasa PH gagal memberikan bajet yang terbaik untuk kali pertama mereka membentangkannya,” tambahnya.-MalaysiaGazette