Menteri Hal Ehwal Ekonomi merangkap Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Azmin Ali ketika hadir pada pembentangan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat, Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 02 NOVEMBER 2018
Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Belanjawan 2019 menunjukkan keprihatinan kerajaan baharu mentadbir negara walaupun hanya baru beberapa bulan sahaja menerajui Malaysia.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ini bukti PH tetap komited dalam memperjuangkan kepentingan rakyat khasnya golongan berpendapatan rendah seperti yang dilaungkan oleh mereka sebelum menang PRU-14 lagi.

Katanya, walaupun berdepan dengan keadaan kritikal akibat hutang oleh kerajaan terdahulu namun inisiatif serta usaha baharu tetap diperkenalkan untuk golongan berkenaan.

Antaranya yang asas seperti sektor pendidikan, perumahan dan kesihatan selain bebanan kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Inisiatif yang diperkenalkan sebenarnya bertujuan untuk membantu golongan kumpulan berpendapatan isi rumah 40 peratus terendah (B40) dan kumpulan berpendapatan isi rumah 40 peratus sederhana (M40).

“Kita adalah kerajaan yang peduli rakyat. Ini bukan laungan atau slogan semata-mata sahaja selama ini. Kerajaan memberikan perhatian yang khusus kepada golongan ini walaupun berdepan dengan keadaan fiskal amat ketat ketika ini.

“Alhamdulillah, kita nampak tumpuan serta keutamaan bagi memastikan kumpulan B40 dan M40 diberikan perhatian khusus kerana ia dapat jana aktiviti ekonomi mereka malah dengan penjanaan ekonomi ini dapat meningkatkan hasil negara dan juga isi rumah yang berkenan dan ini dapat bantu mereka berhadapan cabaran ekonomi pada masa kelak, saya cukup gembira dengan pembentangan ini,” katanya selepas pembentangan belanjawan 2019 di Dewan Rakyat petang tadi. –MalaysiaGazette