Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kekukuhan ekonomi negara bersandarkan kepada lapan faktor iaitu pertumbuhan yang mantap dan stabil.
KLCC mercu tanda Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Dasar Pensyarikatan Malaysia akan diperkasakan untuk menggalakkan keusahawanan dan penglibatan sektor swasta dalam kegiatan ekonomi dan pembangunan secara keseluruhan.

Dasar tersebut akan mewujudkan kepercayaan dan kebolehcapaian antara rakyat, profesional, sektor awam dan swasta untuk beroperasi berasaskan konsep syarikat Malaysia.

Tinjauan Ekonomi 2019 berkata, pelbagai inisiatif dan langkah fasilitasi berimpak tinggi akan diperkenalkan untuk menambah baik dan memperkemas peraturan, perundangan, prosedur dan sistem pentadbiran serta penyampaian sektor awam untuk menyokong aktiviti sektor swasta.

Dasar itu dijangka mencetuskan versi baharu kerjasama awam swasta (PPP) untuk menggalakkan pelaburan dan keusahawanan dalam negara.

Dalam aspek ini, pendekatan tukar ganti tanah di bawah PPP akan disemak semula iaitu memisahkan penjualan tanah daripada pembangunan tanah.

Penjualan dan pembangunan tanah akan dilakukan secara tender terbuka.

Kerajaan juga bercadang untuk mengurangkan penglibatan dalam aktiviti komersil bagi membolehkan sektor swasta memacu pertumbuhan ekonomi.

Kerajaan komited untuk memastikan keberkesanan pelaksanaan proses tender terbuka, pelaburan awam dan merunding semula projek infrastruktur mega.

Penyusunan semula ini membantu mencapai pertumbuhan ekonomi dan dasar fiskal yang mampan pada jangka panjang.

Usaha juga akan dipertingkatkan untuk meluaskan pasaran eksport Malaysia, lantaran itu ekonomi negara mestilah berasaskan tahap kecekapan dan teknologi paling tinggi. – MalaysiaGazette