LOS ANGELES – Keluarga penyanyi rock kumpulan Soundgarden dan kemudiannya Audioslave, mendiang Chris Cornell bertindak memfailkan saman terhadap seorang doktor pakar di Beverly Hills dengan tuduhan telah ‘membunuh’ lelaki tersebut.

Media antarabangsa melaporkan, saman yang telah difailkan di Mahkamah Agung Los Angeles mendakwa doktor tersebut, Robin Koblin telah dengan cuai serta berulang kali memberikan dos ubat berlebihan sehingga menyebabkan Cornell bertindak membunuh diri.

Saman difailkan oleh balu Cornell, Vicky Cornell serta dua orang anaknya yang mendakwa Koblin memberikan 940 ubat anti tekanan iaitu Lorazepam dan Ativan kepada penyanyi itu sejak 2015 sehingga tarikh kematiannya Mei tahun lepas.

Malah dakwa mereka, ubat itu diberikan begitu sahaja tanpa memeriksa keadaan beliau selepas makan ubat tersebut untuk jangka masa dua tahun itu.

Menuurt kenyataan yang dikeluarkan peguam kepada media menyebut, pihaknya kesal kerana Koblin tidak ‘mengendahkan’ keadaan semasa Cornell yang ternyata mengalami kemurungan yang teruk pada tempoh tersebut.

“Dr Koblin tidak memeriksa keadaan kesihatan Cornell, tidak lakukan sebarang kajian atau uji kaji malah beliau juga tidak cuba dapatkan terlebih dahulu maklumat kesihatan Cornell.

“Lagi menyedihkan, Dr Koblin juga tidak berjumpa atau bercakap dengan cara bersemuka terhadap fizikal Cornell dalam tempoh itu.

“Ubat yang diberikan kepadanya telah menyebabkan beliau mengalami gangguan serta kemurungan yang sangat teruk, keupayaan mentalnya juga terjejas, sikapnya juga mempamerkan perubahan, ada kalanya langsung tidak dapat dikawal serta membahayakan,” kata kenyataan tersebut.

Cornell yang amat popular dalam kalangan peminat rock seluruh dunia dipercayai terpaksa bergelut dengan isu kemurungan serta ketagihan dadah sebelum saat-saat kematiannya pada 18 Mei tahun lepas.

Cornell meninggal dunia secara mengejut, ketika baru berusia 52 tahun selepas dikatakan membunuh diri akibat tekanan.

Beliau yang berasal dari Seattle, Amerika Syarikat (AS) ditemui mati di bilik air sebuah hotel di Detroit tempat dia menginap, beberapa jam selepas kumpulan terbabit membuat persembahan di bandar tersebut. – MalaysiaGazette