Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Kerajaan akan mengambil langkah untuk memastikan dua taman negara iaitu Taman Hutan Selangor FRIM dan Taman Diraja Royal Belum Perak disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan komited untuk mengambil langkah perlu bagi memelihara alam sekitar sebagai satu tanggung jawab dan khazanah yang perlu diwariskan kepada generasi akan datang.

Kerajaan akan menyediakan bantuan geran mikro sebanyak RM5 juta untuk melaksanakan program pengurusan dan pemeliharaan alam sekitar yang diterajui komuniti setempat dengan kerjasama United Nations Development Programme (UNDP) meningkatkan pembangunan ekonomi bagi masyarakat Orang Asli dan Orang Asal.

Dalam pada itu, salah satu usaha yang dicadangkan dalam Belanjawan 2019 adalah insentif Taraf Perintis sebanyak 70 peratus atau Elaun Cukai Pelaburan sebanyak 60 peratus untuk tempoh lima tahun bagi syarikat yang menghasilkan plastik mesra alam berasaskan bio-resin dan bio-polimer bagi mengurangkan pencemaran sisa plastik dan menarik pelaburan dalam aktiviti mesra alam.

Kerajaan juga menyediakan dana sebanyak RM2 bilion di bawah Skim Pembiayaan Teknologi HIjau dengan kerajaan menampung subsidi kadar faedah dua peratus untuk tempoh lima tahun pertama bagi terus menggalakkan pelaburan industri teknologi hijau.-MalaysiaGazette