Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (kiri) bersama Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menunjukkan buku Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2019 selepas selesai pembentangan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat, Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 02 NOVEMBER 2018
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (kiri) bersama Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menunjukkan buku Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2019 selepas selesai pembentangan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat, Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 02 NOVEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan juga pegawai Kementerian Kewangan perlu memberikan penjelasan sebaik mungkin terhadap Belanjawan 2019 yang diumumkan hari ini.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, peranan yang sama perlu dimainkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Menurut beliau, penjelasan itu perlu diterangkan sejelas-jelasnya agar tidak berlaku salah faham sehingga mengganggu pasaran ekonomi.

“Sekarang ini menteri kewangan ada tugas penting untuk memberi maklumat secara lebih terperinci terutama kepada market forces (kuasa pasaran).

“Ini kerana reaksi mereka jadi perkara yang penting kerana jika mereka tidak faham maka mungkin tafsiran mereka itu tidak tepat,” katanya pada sidang media di Lobi Parlimen petang tadi.

Beliau mengulas mengenai pembentangan Belanjawan 2019 oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Dalam pada itu, Mahathir turut berharap agar media memainkan peranan bagi membantu kerajaan dalam menyalurkan maklumat kepada rakyat berhubung bajet tersebut.

Malah, beliau turut mengharapkan sebarang teguran dan reaksi segera akan diberikan oleh pihak kerajaan mengenai sebarang perkara yang timbul.

“Saya harap media akan buat analisa dan membuat apa-apa teguran kepada kami dan kami bersedia menjawab segala teguran yang akan dibuat dan penjelasan akan dibuat jika ada sesuatu yang belum jelas.

“Saya yakin media tentu tahu bagaimana mereka akan perkenalkan tajuk-tajuk tertentu,” ujarnya. – MalaysiaGazette