Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menunjukkan beg berisi teks ucapan Bajet 2019 yang akan dibentangkan dalam Dewan Rakyat di Kompleks Kementerian Kewangan, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 02 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Hutang dan liabiliti sebenar kerajaan sehingga akhir Jun 2018 adalah RM1.065 trilion, iaitu hampir RM350 bilion lebih tinggi daripada jumlah yang didedahkan secara rasmi oleh kerajaan terdahulu.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, perincian hutang ini merangkumi RM725.2 bilion hutang langsung Kerajaan Persekutuan, komitmen luar jangka (RM155.8 bilion) dan liabiliti lain termasuk bayaran pajakan bagi projek Kerjasama Awam Swasta (PPP) (RM184.9 bilion).

Kerajaan mendapati pentadbiran terdahulu telah secara rahsia membayar hutang 1MDB hampir RM7 bilion sehingga 30 April 2018.

Sehingga 31 Mei 2018, jumlah tunggakan bayaran balik adalah RM35.4 bilion, yang mana tunggakan GST adalah sebanyak RM19.4 bilion sementara tunggakan cukai pendapatan berjumlah RM16 bilion.

Beliau berkata demikian semasa pembentangan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya, ringgit telah meningkat sebanyak 12.3 peratus berbanding rupee India, 8.1 peratus berbanding rupiah Indonesia, 3 peratus berbanding peso Filipina, 3.2 peratus berbanding renminbi China dan 0.6 peratus berbanding dolar Singapura.

Sehingga 15 Oktober 2018, rizab antarabangsa berjumlah AS$102.8 bilion atau RM426 bilion, mencukupi untuk menampung 7.4 bulan import tertangguh.

Kadar inflasi kekal rendah pada 1.2 peratus bagi tempoh Januari sehingga September 2018.

Tambahnya, kerajaan mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan terus berkembang 4.9 peratus pada 2019 walaupun dalam persekitaran ekonomi global yang tidak menentu.

Jumlah jaminan kerajaan telah meningkat dari RM69.2 bilion pada tahun 2008 kepada RM238 bilion pada 2017 iaitu peningkatan drastik sebanyak 244 peratus disebabkan oleh komitmen perbelanjaan kerajaan terdahulu.

Defisit fiskal pada 2018 dijangka mencapai 3.7 peratus, ujarnya. – MalaysiaGazette