Bangunan Kementerian Kewangan. foto HAZROL ZAINAL, 02 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR, 2 Nov (Bernama): Berikut ialah inti pati Belanjawan 2019 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Belanjawan 2019 bertemakan Malaysia Wibawa, Ekonomi Dinamik, Rakyat Sejahtera.

  • Hutang dan liabiliti sebenar Kerajaan sehingga akhir Jun 2018 adalah RM1,065 bilion, iaitu hampir RM350 bilion lebih tinggi daripada jumlah yang didedahkan secara rasmi oleh Kerajaan terdahulu.
  • Perincian hutang ini merangkumi RM725.2 bilion hutang langsung Kerajaan Persekutuan, RM155.8 bilion komitmen luar jangka dan RM184.9 bilion liabiliti lain termasuk bayaran pajakan bagi projek Kerjasama Awam Swasta (PPP).
  • Kerajaan mendapati pentadbiran terdahulu telah secara rahsia membayar hutang 1MDB hampir RM7 bilion sehingga 30 April 2018
  • Kerajaan juga mendapati bahawa negara mungkin perlu membayar sehingga RM43.9 bilion lagi bagi menyelesaikan hutang 1MDB ini
  • Sehingga 31 Mei 2018, jumlah tunggakan bayaran balik adalah RM35.4 bilion, di mana tunggakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) adalah sebanyak RM19.4 bilion sementara tunggakan cukai pendapatan berjumlah RM16 bilion
  • Kerajaan unjur Keluaran Dalam Negara Kasara (KDNK) Berkembang 4.9 peratus pada 2019
  • Kerajaan akan membentangkan Akta Kebertanggungjawaban Fiskal pada 2021
  • Kerajaan akan membentangkan Akta Perolehan Kerajaan pada tahun depan
  • Kerajaan akan melaksanakan perakaunan akruan bagi menggantikan perakaunan asas tunai bermula 2021
  • Defisit fiskal 2018 dijangka mencapai 3.7 peratus disebabkan komitmen perbelanjaan kerajaan terdahulu

–BERNAMA