JDT
JDT

KUALA LUMPUR – Kelab Johor Darul Takzim (JDT) membolot 10 daripada 11 pencalonan akhir Anguerah Bola Sepak Kebangsaaan (ABK) 2018 yang bakal berlangsung, pada 5 November ini.

Dalam semua kategori dipertandingkan, JDT hanya tidak mempunyai wakil bagi kategori Jurulatih Terbaik yang menampilkan jurulatih Juara Piala Malaysia 2018 dari Perak, Mehmed Durakovic, Dollah Salleh (Pahang) dan Felda United, B Sathiananthan.

Perak turut mempunyai calon bagi kategori Penjaga Gol Terbaik yang menampilkan tiga penjaga gol kebangsaan iaitu Hafizul Hakim, Farizal Marlias (JDT) dan Khairul Fahmi Che Mat (Melaka United).

Seorang lagi wakil The Bos Gaurus, Shahrul Saad bersama Mattew Davies (Pahang) dan S Kunalan (JDT) pula mengisi slot calon Pertahanan Terbaik, manakala Nik Akif Syahiran Nik Mat (Kelantan), Safawi Rasid (JDT) serta Nor Azam Abdul Azih (Pahang) menjadi calon Pemain Tengah Terbaik.

Kategori Penyerang Terbaik pula menampilkan dua pemain muda, Shahrel Fikri Fauzi dari PKNP FC yang kini beraksi di Liga 1 Thailand bersama Nakhon Ratchasima F.C dan Akhayar Abdul Rashid dari Kedah serta seorang lagi pemain kebangsaan, Ahmad Hazwan Bakri dari JDT.

Pemain Asean Terbaik menampilkan saingan tiga pemain dari Singapura, Faris Ramli (PKNS), Hariss Harun (JDT) dan Safuwan Baharudin (Pahang).

Lee Tuck yang berjaya membawa Terengganu ke pentas akhir Piala Malaysia bakal bersaing dengan penyerang Selangor Rufino Segovia dan Gonzalo Cabrera dari JDT.

Pemain kebangsaan, Safawi Rasid dari JDT pula akan merebut anugerah bagi kategori Pemain Muda Harapan yang turut menampilkan Akhayar Abdul Rashid (Kedah) dan Nik Akif Syahiran Nik Mat dari Kelantan.

Dalam pada itu, JDT bersama Selangor dan Terengganu turut bersaing dalam kategori Media Sosial Terbaik dan Laman Web Terbaik sementara Kedah serta Pahang menyaingi JDT bagi Penyokong Terbaik.

Turut dipertandingkan adalah Pemain Paling Popular dan Best XI ABK 2018 yang dipilih hasil undian sepenuhnya penyokong bola sepak tempatan. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan