Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bercakap ketika membentangkan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat, Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 02 NOVEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan menaikkan dan memperkemas Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) ke atas keuntungan daripada pelupusan harta tanah dan saham.

Bagi syarikat, individu bukan warganegara dan bukan pemastautin tetap, kadar CKHT dinaikkan daripada 5 peratus kepada 10 peratus dan bagi individu warganegara dan penduduk tetap, kadar CKHT dinaikkan daripada 0 peratus kepada 5 peratus.

Bagaimanapun, CKHT dikecualikan atas harga hartanah, rumah kos rendah, rumah kos sederhana rendah dan rumah mampu milik di bawah RM200,000.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kadar duti setem bagi pemindahan hartanah bernilai lebih RM1 juta akan dinaikkan sebanyak 1 mata peratusan daripada kadar cukai 3 peratus kepada 4 peratus.

Sejak tahun 1999, pendapatan faedah yang diperolehi daripada dana pasaran wang pemborong telah diberikan pengecualian cukai pendapatan untuk menggalakkan pembangunan industri unit amanah.

Dana ini telah mencatatkan pertumbuhan yang kukuh pada kadar 24 peratus setiap tahun sejak 2010.

Jumlah dana keseluruhan telah meningkat kepada RM42.9 bilion pada Disember 2017.

Melihat kepada perkembangan yang positif ini, kerajaan mencadangkan supaya layanan cukai ini ditamatkan mulai 1 Januari 2019. – MalaysiaGazette