gambar hiasan
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pendidikan terus menjadi agenda utama kerajaan yang mana Kementerian Pendidikan merupakan penerima peruntukan terbesar dalam Belanjawan 2019 berjumlah RM60.2 bilion atau 19.1 peratus daripada perbelanjaan kerajaan tahun hadapan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, peruntukan sebanyak RM2.9 bilion diberikan bantuan pendidikan kepada golongan miskin melalui bekalan makanan, buku teks dan bantuan tunai.

Manakala peruntukan sebanyak RM3.8 bilion pula diberikan kepada program biasiswa dan pinjaman pelajaran agensi-agensi seperti Mara, Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Kesihatan.

Daripada jumlah tersebut, RM2 bilion diperuntukan khusus kepada pelajar Bumiputera tajaan Mara.

“Satu-satunya mekanisme yang terjamin dan mampan bagi mencapai pertumbuhan pendapatan yang lebih tinggi adalah melalui pendidikan yang lebih berkualiti di semua peringkat.

“Kementerian Pendidikan adalah penerima peruntukan yang terbesar berjumlah RM60.2 bilion atau 19.1 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan Kerajaan tahun 2019,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2019 di Parlimen hari ini.

Bagi memastikan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Guan Eng mengumumkan kaedah baharu pembayaran yang mana peminjam boleh melaksanakan potongan gaji berjadual antara dua hingga 15 peratus daripada pendapatan bulanan peminjam bergantung kepada kadar pendapatan mereka.

Pembayaran balik itu hanya terpakai kepada peminjam berpendapatan melebihi RM1,000 sebulan.

Syarikat yang membantu menyelesaikan baki pinjaman pekerja bagi tahun 2019 akan diberikan pelepasan cukai.

Kadar pelepasan cukai pendapatan individu bagi Skim Simpanan dinaikkan daripada RM6,000 kepada RM8,000.

Potongan pinjaman kepada pelajar isi rumah B40 yang mendapat kelas pertama.

Kerajaan juga akan menghapuskan baki hutang peminjam berusia 60 tahun dan ke atas dan berpendapatan kurang daripada RM4,000 sebulan

Sejumlah RM4.2 juta diperuntukkan dan bakal memanfaatkan 350 peminjam.

Peruntukan untuk menaik taraf dan menyelenggara semua sekolah dinaikkan dari RM615 juta pada 2018 kepada RM652 juta tahun depan.

Penyumbang kepada tabung penyelenggaraan sekolah kerajaan dan institusi pengajian awam di bawah Kementerian Pendidikan pula diberikan potongan cukai pendapatan mulai 1 Januari 2019. -MalaysiaGazette