KUALA LUMPUR – Kerajaan memutuskan untuk menyelesaikan keseluruhan tunggakan bayaran balik cukai yang dianggarkan sebanyak RM37 bilion iaitu RM18 bilion untuk cukai pendapatan dan RM19 bilion untuk Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Bagi memenuhi tanggungan ini, kerajaan dijangka menerima dividen khas Petronas berjumlah RM30 bilion sementara bakinya akan dibiayai melalui penjimatan perbelanjaan.

Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2019 berkata, jumlah hasil tidak termasuk dividen khas Petronas dijangka mersot sebanyak RM4.6 bilion kepada RM231.8 bilion disebabkan hasil pelaburan dan faedah yang lebih rendah walaupun kutipan cukai tinggi.

Perbelanjaan mengurus (OE) tidak termasuk bayaran balik cukai dijangka berkurang sebanyak RM12.6 bilion kepada RM222.9 bilion selaras dengan pendekatan belanjawan bahari melalui ‘zero-based budgeting’.

Kerajaan melaksanakan pendekatan ‘zero-based budgeting’ dalam penyediaan Belanjawan 2019 untuk meningkatkan kecekapan perbelanjaan.

Pendekatan ini melibatkan penjimatan daripada perbelanjaan tidak kritikal.

Kerajaan telah mengklasifikasi semua perbelanjaan mengurus yang berkaitan dengan pembangunan kepada perbelanjaan pembangunan (DE) untuk pelaporan lebih tepat.

DE diunjur sekitar RM55 bilion, menurut Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2019.

Berdasarkan langkah yang diambil, penjimatan bersih dianggar sebanyak RM8.2 bilion.

Defisit fiskal dijangka berkurangan kepada RM52.1 bilion atau 3.4 peratus daripada KDNK setelah mengambil kira RM7 bilion bagi membiayai sebahagian daripada bayaran balik cukai. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan