Edmund Zagorski pilih kerusi elektrik daripada suntikan maut

NASHVILLE, Tenneesse  – Seorang banduan hukuman mati terpaksa membuat pilihan paling menyakitkan bagi mengakhiri hidupnya samada menerusi suntikan maut atau kerusi elektrik.

Reuters melaporkan, banduan tersebut yang telah dihukum mati dan gagal dalam permohonan rayuan di Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) akhirnya memilih untuk dibunuh menggunakan kerusi elektrik.

Sebelum itu, Mahkamah Tinggi telah menetapkan hukuman mati terhadap banduan tersebut sejak beberapa tahun lepas.

Banduan tersebut yang juga merupakan warga tempatan dari Tennesse, Edmund Zagorski, 63, menjadi banduan AS pertama dalam tempoh lima tahun dihukum mati di kerusi elektrik.

Menurut peguam belanya, Zagorski telah memilih kerusi elektrik berbanding suntikan maut kerana pada sangkaanya itu jauh lebih baik serta kurang menyakitkan selain daripada mampu ‘mati’ sekelip mata.

Hukuman itu yang dijalankan semalam waktu tempatan telah menyebabkan Zagorski, diumumkan meninggal dunia pada jam 7.26 malam di Institut Keselamatan Maksimum Riverbrand di Nashville.

Zagorski didapati bersalah membunuh dua lelaki pada 1983 yang membawa wang yang banyak untuk membeli 45 kilogram dadah jenis marijuana.

Ketika perbicaraan pada 1984, pendakwa raya berkata, Zagorski mengumpan John Dotson dan Jimmy Porter ke dalam kawasan hutan di Robertson untuk urusan jual beli dadah.

“Tetapi sejurus sampai, dia dengan tidak perikemanusian telah bertindak menembak kedua-dua mereka, tidak cukup dengan itu kemudian mengelar leher serta mencuri kesemua wang tunai yang dibawa oleh mereka,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan