Kes saman bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng terhadap New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) berhubung penyiaran artikel berkenaan campur tangan dalam pelantikan mufti selesai selepas NSTP mengemukakan permohonan maaf kepadanya di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Kes saman bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng terhadap New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) berhubung penyiaran artikel berkenaan campur tangan dalam pelantikan mufti selesai selepas NSTP mengemukakan permohonan maaf kepadanya di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

GEORGE TOWN – Kes saman bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng terhadap New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) berhubung penyiaran artikel berkenaan campur tangan dalam pelantikan mufti selesai selepas NSTP mengemukakan permohonan maaf kepadanya di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Peguam Simon Murali yang mewakili Lim turut menyebut bagi pihak peguam defendan dan membacakan pernyataan maaf itu di dalam mahkamah di hadapan Hakim Datuk Rosilah Yop.

Permohonan maaf itu berbunyi: “Kami merujuk kepada artikel yang diterbitkan dalam edisi New Straits Times pada 5 Februari 2017 bertajuk, Political Intervention was real, says PAS dan dengan nota editorial yang tertera, Guan Eng had hand ini non-renewal of Mufti’s contract.

“Artikel itu mengandungi kenyataan memfitnah YB Lim Guan Eng, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang dan sekarang adalah Menteri Kewangan Kerajaan Persekutuan Malaysia.

“Kami dengan ini secara tulus ikhlas memohon maaf tanpa syarat kepada YB Lim Guan Eng bagi penerbitan artikel tersebut dan menyatakan penyesalan kami yang mendalam atas apa jua kesusahan dan penderitaan yang mungkin diakibatkan kepada beliau”.

Mahkamah turut memerintahkan NSTP selaku defendan membayar kos kepada Lim selaku plaintif dalam kes itu sebanyak RM200,000 sebagai ganti rugi.

Mahkamah turut memerintahkan defendan mencetak, menyiarkan dan menerbitkan dalam akhbar New Sunday Times (edisi hari Ahad surat khabar New Straits Times) pernyataan maaf tanpa syarat dan pernyataan maaf itu hendaklah disiarkan dan diterbitkan dalam muka surat 3 akhbar New Sunday Times bersama dengan gambar foto plaintif.

Rosilah kemudian merekodkan penghakiman persetujuan dan membatalkan saman tersebut.

Pada Ogos tahun lalu, Lim menfailkan saman itu terhadap NSTP dan mendakwa pada 5 Feb 2017, defendan telah mencetak dan menerbit dan /atau menyebabkan percetakan dan penerbitan di dalam NST yang disiarkan dalam satu artikel bertajuk Political Intervention was real, says PAS.

Dalam pernyataan tuntutannya, Lim mendakwa artikel tersebut telah menjejaskan reputasinya dan menyebabkan plaintif terdedah dengan penghinaan, kebencian, keaiban dan skandal awam.

— BERNAMA