Penjual burger, Izzul Islam menonton pengumuman bajet 2019 oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 02 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Kepada peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), pembayaran balik dengan cara potongan gaji berjadual antara 2% hingga 15% daripada pendapatan bulanan peminjam akan diperkenalkan.

Ia merupakan salah satu langkah yang diumumkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam pembentangan Belanjawan 2019 d Dewan Rakyat hari ini untuk memastikan PTPTN kekal mampan.

Menurut Guan Eng, jadual pembayaran balik itu hanya terpakai kepada peminjam berpendapatan melebihi RM1,000 sebulan.

Dalam pembentangan lebih dua jam itu, Guan Eng turut menyenaraikan beberapa langkah lagi berkaitan PTPTN.

Katanya, pelepasan cukai akan diberi kepada syarikat yang membantu menyelesaikan baki pinjaman pekerja bagi tahun berakhir 2019.

Manakala layanan pelepasan cukai pendapatan individu bagi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) dinaikkan daripada RM6,000 kepada RM8,000.

Turut ditawarkan dalam Belanjawan 2019 adalah potongan pinjaman kepada pelajar daripada isi rumah B40 yang mendapat keputusan kelas pertama

Guan Eng berkata, baki hutang kepada peminjam yang berusia 60 tahun dan ke atas dan berpendapatan kurang daripada RM4,000 sebulan akan dikira hapus, yang memanfaatkan 350 peminjam dengan kos RM4.2 juta.

Pakatan Harapan dalam manifestonya menetapkan pembayaran balik PTPTN hanya selepas peminjam berpendapatan RM4,000. – MalaysiaGazette