Bekas Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak berjalan keluar selepas hadir pada pembentangan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat, Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 02 NOVEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata peningkatan kadar defisit negara bukan kerana projek 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Katanya, langkah kerajaan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad yang memansuhkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) mengakibatkan negara mengalami defisit kerana kekurangan pendapatan.

“Memang jelas mereka nak menyalahkan kerajaan BN dan juga isu 1MDB. Mereka tak sebut tentang aset 1MDB. 1MDB banyak aset, kalau kita monetise aset dan kita tentukan harga yang sebaiknya, hutang-hutang 1MDB boleh dilupuskan. Ini tidak bererti yang menyalahguna kuasa tuntutan tindakan undang-undang diambil.

“Cuma saya kata jangan guna isu 1MDB sehinggakan kita lupa bahawa 1MDB ada aset yang boleh digunakan untuk bayar balik hutang. Defisit itu pokok sebab mereka hapuskan GST, bila mereka hapuskan GST mereka kehilangan hasil bersih 44 bilion setahun,” katanya kepada media selepas mendengar pembentangan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat hari ini.

Ujarnya lagi, pendapatan besar kerajaan daripasa GST berkurangan sebanyak RM40 bilion menyumbang kepada peningkatan defisit tersebut.

Untuk rekod, negara menanggung peningkatan defisit fiskal sebagai 3.7 peratus.

Dalam perbentangan Belanjawan 2019 hari ini, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata defisit fiskal pada 2018 dijangka mencapai 3.7% dan peningkatan itu disebabkan oleh komitmen perbelanjaan kerajaan terdahulu yang tidak disediakan peruntukan seperti bayaran khidmat hutang 1MDB sebanyak RM1 bilion.

Ia juga didakwa berpunca daripada pengambilalihan Lebuhraya Penyuraian Trafik Timur (EDL) di Johor RM1.3 bilion, Prasarana RM1 bilion dan projek rel Kementerian
Pengangkutan RM1.4 billion serta bayaran balik GST RM3.9 bilion.

Najib menambah kelompongan pendapatan berbilion ringgit ini yang menghantui Pakatan Harapan kini.

“SST tahun ini mereka dapat RM5 bilion sahaja. Ada kelompongan, ini sebenarnya yang menghantui menteri kewangan, yang sebenarnya isu pokoknya.

“Kalau kekal GST segala boleh dilakukan termasuk MRT3, high speed rail, ECRL dan bantuan pun seperti BRIM,” katanya lagi. -MalaysiaGazette