Menteri Kewangan, Lim Guan Eng (dua kanan) beramah mesra bersama Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri dan Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang (tengah) sebelum membentangkan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat, Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 02 NOVEMBER 2018

KUALA LUMPUR –  Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengakhiri ucapan pembentangan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat hari ini dengan meminta penyangak yang telah mencuri wang rakyat supaya memulangkan wang tersebut kepada negara dan bersedia dihadapkan ke muka pengadilan.

Bagi mereka yang masih menyokong penyangak itu pula, katanya, pohonlah maaf dan letak jawatan daripada penjawat awam.

Dalam ucapan belanjawan julung kali oleh kerajaan Pakatan Harapan selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lalu, Guan Eng merumuskan bahawa keputusan rakyat untuk memilih kerajaan sekarang adalah betul.

Ini terbukti apabila semalam di Amerika Syarikat, dua bekas pegawai Goldman Sachs Group Inc, Tim Leissner dan Roger Ng telah ditangkap dan didakwa oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat.

“Mereka adalah antara dalang dalam penerbitan bon 1MDB berjumlah USD6.5 bilion atau RM26 bilion yang bersubahat dengan penyangak di Malaysia untuk menyelewengkan wang rakyat Malaysia.

“Berita yang lebih baik ialah Jho Low, watak utama dalam skandal ini telahpun didakwa (indicted in absentia) di Amerika Syarikat,” katanya.

Beliau berkata, sungguhpun terdapat perbezaan, rakyat Malaysia adalah istimewa kerana tanpa mengira kaum, agama ataupun latar belakang, kita masih bersedia untuk bekerja sama dan saling mempercayai satu sama lain.

Katanya, Malaysia sudah bersih dan kita berbangga bahawa kini Malaysia bersih semula.

“Kepada mereka yang tersesat di hujung, baliklah ke pangkal jalan. Amar makruf nahi mungkar. Marilah kita menuju ke hadapan dengan penuh harapan. Malaysia Wibawa, Ekonomi Dinamik, Rakyat Sejahtera,” katanya. – MalaysiaGazette