Lim Guan Eng
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bercakap ketika membentangkan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat, Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 02 NOVEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan melaksanakan perakaunan akruan bagi menggantikan perakaunan asas tunai bermula 2021 bagi memastikan penzahiran hutang dan liabiliti serta kedudukan nilai aset negara secara menyeluruh.

Menteri Kewangan berkata, kerajaan juga berhasrat untuk membentangkan Akta Perolehan Kerajaan pada tahun hadapan untuk mengawal selia proses perolehan bagi memastikan ketelusan dan persaingan terbuka, dan pada masa yang sama, mengenakan tindakan punitif ke atas penyalahgunaan kuasa, kecuaian dan rasuah.

Lim Guan Eng berkata, pelaksanaan tender terbuka bukan sahaja akan menjimatkan wang pembayar cukai, malah ia juga akan meningkatkan kecekapan dan daya saing sektor swasta.

Kerajaan akan membentangkan Akta Kebertanggungjawaban Fiskal pada 2021 untuk mengelak perbelanjaan yang tidak terkawal dan menyebabkan hutang yang maha besar.

Tambahnya, Kerajaan Persekutuan telah menstruktur semula pendekatan belanjawan melalui sistem belanjawan berasaskan sifar belanjawan.

Pendekatan ini meningkatkan keberkesanan, kecekapan dan penjimatan kerana perbelanjaan dibuat melalui penilaian matlamat peruntukan, dan bukannya berdasarkan perbelanjaan tahun lalu, dan semua perbelanjaan yang menurut budi bicara akan dirancang secara sifar. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan