Kerja-kerja pembinaan ketika tinjauan Lensa MalaysiaGazette pada Majlis Pelancaran Kerja Pembinaan Terowong MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya di Stesen MRT Bandar Malaysia, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 01 MAC 2018
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Peruntukan belanjawan 2018 yang merangkumi perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan disemak lebih tinggi kepada RM290.4 bilion berbanding RM280.3 bilion dalam peruntukan asal.

Perbelanjaan mengurus disemak lebih tinggi kepada RM235.5 bilion berbanding RM234.3 bilion dalam belanjawan asal.

Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2019 berkata, tambahan perbelanjaan mengurus diperlukan terutama untuk penstabilan harga bahan api, bantuan kewangan khas, pencen, pembaikan dan penyelenggaraan serta perkhidmatan pembersihan dan keselamatan.

Perbelanjaan emolumen pula dijangka bertambah sebanyak RM2.2 bilion daripada belanjawan asal disebabkan terutamanya oleh bantuan kewangan khas kepada penjawat awam pada Januari dan Jun 2018.

Dengan itu, sebanyak RM16.6 bilion peruntukan tambahan terpaksa disediakan dengan RM11.2  bilion disalurkan untuk perbelanjaan mengurus dan baki RM5.4 bilion disalurkan untuk perbelanjaan pembangunan.

Bagaimanapun menurutnya, sebanyak RM6.5 bilion penjimatan dijangka diperoleh daripada semakan semula program dan projek sedia ada.

“Oleh itu, peningkatan bersih jumlah perbelanjaan dianggarkan sebanyak RM10.1 bilion.

“Dari segi peruntukan mengikut sektor tidak termasuk perbelanjaan tanggungan dan pindahan, agihan kepada sektor sosial merupakan yang tertinggi iaitu 36.4 peratus daripada jumlah peruntukan diikuti oleh sektor ekonomi (17.6 peratus), keselamatan (11.2 peratus) dan pentadbiran (6.3 peratus),” katanya.

Peruntukan perbelanjaan pembangunan 2018 telah disemak menaik daripada RM46 bilion kepada RM54.9 bilion, meningkat 19.3 peratus berbanding belanjawan asal.

Peningkatan ketara itu disebabkan pertambahan keperluan bagi projek LRT3, perumahan dan Projek Landasan Berkembar Elektrik (EDTP).

Daripada jumlah peruntukan disemak, RM53.3 bilion merupakan peruntukan langsung manakala RM1.6 bilion dalam bentuk pinjaman kerajaan negeri dan entiti berkaitan kerajaan.

Kerajaan turut dapat mengurangkan sejumlah RM3.5 bilion daripada peruntukan asal melalui kajian semula dan penangguhan pelaksanaan projek yang berkeutamaan rendah, projek yang belum ditawarkan dan projek melebihi RM10 juta dengan peratus kemajuan fizikal kurang daripada 15 peratus.-MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan