Gambar Hiasan
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pembayaran dividen khas sebanyak RM30 bilion untuk membayar balik bayaran semua cukai tertunggak Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tidak akan menjejaskan keupayaan Petronas untuk membayar hutang serta membiayai operasi serta pelaburan pada masa akan datang.

Syarikat pertroleum negara itu dalam satu kenyataan di sini hari ini, menyokong arahan kerajaan dalam Belanjawan 2019 untuk membayar dividen khas.

“Petronas memiliki asas dan kecairan yang kukuh dipacu oleh usaha-usaha transformasi yang telah dijalankan sejak beberapa tahun lepas.

“Usaha-usaha tersebut merangkumi keberkesanan operasi, pengurangan kos dan mengoptimumkan portfolio dan disokong oleh harga minyak yang lebih baik,” katanya.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2019 di Parlimen hari ini berkata, kerajaan dijangka mengutip hasil sebanyak RM261.8 bilion pada tahun hadapan.

Kerajaan katanya, memutuskan untuk menyelesaikan keseluruhan tunggakan bayaran balik cukai yang dianggarkan sebanyak RM37 bilion iaitu RM18 bilion untuk cukai pendapatan dan RM19 bilion untuk GST. – MalaysiaGazette