Putera Mohammed bin Salman

ISTANBUL – Putera Mahkota Mohammed bin Salman menyifatkan Jamal Khashoggi merupakan seorang Islam yang berbahaya.

Perkara itu dimaklumkan dalam satu panggilan ke White House sebelum Arab Saudi mengesahkan Khashoggi telah dibunuh di dalam konsulat di Istanbul.

Khashoggi adalah warga Arab Saudi yang kerap mengkritik pemerintah negara itu.

Wartawan itu dibunuh dan mayatnya dikerat pada 2 Oktober lalu tetapi sehingga sekarang mayatnya belum ditemui.

Tunang Khashoggi, Hatice Cengiz menggesa pemimpin-pemimpin dunia untuk mengheret pihak yang bertanggungjawab ke atas kematian wartawan itu ke muka pengadilan.

Arab Saudi telah menafikan pembabitan keluarga diraja terlibat dalam kes pembunuhan itu dan menyatakan akan mengenal pasti semua fakta.

Bulan lalu, Putera Mohammed berkata, pembunuhan Khashoggi merupakan satu yang perit kepada negaranya.

Semasa bercakap dengan menantu Donald Trump, Jared Kushner, Mohammed berkata, Khashoggi adalah ahli kumpulan Ikhwan Muslim, sebuah organisasi Islam yang transnasional, lapor Washington Post.

Panggilan telefon dilaporkan berlaku pada 9 Oktober, seminggu selepas Khashoggi hilang.

Putera Mohammed juga dilaporkan mendesak White House untuk memelihara hubungan Amerika Syarikat-Arab Saudi.

Dalam satu kenyataan, keluarga Khashoggi menafikan dakwaan wartawan itu adalah ahli Ikhwan Muslim dan perkara sama pernah dinafikan oleh Khashoggi sendiri beberapa tahun lalu.

“Jamal Khashoggi bukan seorang individu yang bahaya dalam apa cara sekalipun. Tuduhan itu adalah tidak masuk akal,” ujar kenyataan itu. – MalaysiaGazette