Pesawat A380 milik Malaysia Airlines di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Kerajaan bercadang untuk mewujudkan Amanah Pelaburan Hartanah bagi Lapangan Terbang atau Airport Real Estate Investment Trust (REIT), yang pertama di dunia.

Pelabur dalam skim REIT ini akan memperolehi pulangan melalui fi pengguna yang dikutip daripada pemegang konsesi pengurusan lapangan terbang iaitu Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Melalui inisiatif ini, kerajaan berharap dapat meraih dana sebanyak RM4 bilion daripada penjualan 30 peratus ekuiti REIT kepada institusi pelaburan yang berpeluang memegang aset infrastruktur yang berkualiti.

Program ini hanya akan dilaksanakan selepas rundingan fi pengguna dan Pangkalan Aset Diselia dimuktamadkan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, REIT Lapangan Terbang akan berpeluang menerbitkan unit REIT baharu atau mendapatkan pinjaman bagi membiayai penambahbaikan lapangan terbang terutamanya lapangan terbang
yang melebihi kapasiti.

Struktur kewangan ini akan mengurangkan bebanan hutang kerajaan untuk membiayai projek pembesaran lapangan terbang.

“Pada masa yang sama, peranan MAHB sebagai operator aset ringan dapat dikekalkan tanpa perlu dibebankan dengan pelaburan modal dan hutang yang besar.

” Projek lain juga boleh menerima pakai pembiayaan dan struktur pelaburan seumpama ini seperti hospital dan infrastruktur rel,” katanya dalam pembentangan Belanjawan 2019. – MalaysiaGazette