Gambar hiasan
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sejumlah RM314.6 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan kerajaan Persekutuan pada 2019, 0.3 mata peratusan lebih tinggi daripada jumlah belanjawan 2018 disemak iaitu RM290.4 bilion.

Daripada jumlah itu, RM259.9 bilion atau 82.6 peratus akan disalurkan kepada perbelanjaan mengurus manakala baki RM54.7 bilion akan dibelanjakan untuk perbelanjaan pembangunan.

Menurut Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutian, sebanyak RM259.9 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus, naik 10.4 peratus berbanding tahun sebelumnya dengan peruntukan terbesar adalah untuk emolumen (31.6 peratus) diikuti bayaran khidmat hutang (12.7 peratus), perkhidmatan dan bekalan (11.2 peratus) serta bayaran persaraan (10.2 peratus).

Pada 2019, sebanyak RM37 bilion diperuntukan bagi bayaran balik cukai tertunggak merangkumi RM18 bilion bayaran balik cukai pendapatan dan RM19 bilion bayaran balik Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Dalam pada itu, subsidi dan bantuan sosial diunjur berkurang kepada RM22.3 bilion didorong oleh pengenalan semula sistem apungan terkawal harga runcit petrol RON95 dan diesel serta penstrukturan semula bantuan tunai, Bantuan Sara Hidup (BSH).

Peruntukan sebanyak RM5 bilion disediakan untuk BSH yang dahulunya dikenali sebagai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang akan memberi manfaat kepada 4.1 juta penerima.

Sektor ekonomi kekal sebagai penerima terbesar merangkumi 53.4 peratus daripada jumlah perbelanjaan pembangunan sebanyak RM54.7 bilion.

Ia akan memberi tumpuan kepada sistem pengangkutan, perdagangan dan industri tenaga dan utilti, awam serta pembangunan pertanian dan luar bandar. – MalaysiaGazette