Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika hadir pada pembentangan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat, Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 02 NOVEMBER 2018.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika hadir pada pembentangan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat, Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 02 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Pembentangan Belanjawan 2019 disifatkan telah memberi satu ‘kelegaan’ besar kepada rata-rata pemimpin khasnya di kementerian kerana telah diberikan peruntukan secukupnya demi kepentingan rakyat.

Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution, kerajaan masih berkeupayaan menampung keperluan rakyat walaupun dengan pemansuhan GST sehingga menyebabkan negara menanggung kerugian.

Antaranya, komitmen kerajaan dalam untuk menyelesaikan keseluruhan tunggakan bayaran balik cukai yang dianggarkan sebanyak RM37 bilion iaitu RM18 bilion untuk cukai pendapatan dan RM19 bilion cukai GST kelak.

“Walaupun kerajaan dijangka menerima dividen khas Petronas berjumlah RM30 bilion tetapi sebesar itu digunakan untuk bayar hutang sangat melegakan.

“Kedua, yang dekat dengan kementerian saya, subsidi bersasar juga pengumuman bersifat melegakan tekanan kos sara hidup seperti bantuan sara hidup dan subsidi RON95,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen selepas pembentangan Bajet 2019 hari ini.

Dalam pada itu, Saifuddin turut menolak apa-apa persepsi negatif yang dilontarkan oleh pembangkang sebaliknya hanya mengatakan ianya terpulang kepada mana-mana pihak untuk memberikan pendapat mereka.

Beliau mengulas ketika diminta memberi pandangan tentang dakwaan pemimpin pembangkang yang mengatakan kerajaan PH sebenarnya telah meniru apa yang telah terkandung dalam bajet-bajet mereka yang terdahulu.

“Apa pun yang pendapat, saya hormati pandangan mereka, itu sahaja,” katanya ringkas. –MalaysiaGazette