Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berucap membentangkan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat, Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 02 NOVEMBER 2018
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan melancarkan Program Khas Pengakuan Sukarela untuk memberi peluang kepada pembayar cukai mengisytihar sebarang pendapatan yang tidak dilaporkan secara sukarela termasuk akaun pesisir pantai.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, sekiranya pelaporan pendapatan dibuat mulai esok sehingga 31 Mac 2019, pembayar cukai akan hanya dikenakan penalti sebanyak 10 peratus ke atas cukai yang perlu dibayar.

Sekiranya pelaporan dibuat daripada 1 April 2019 sehingga 30 Jun 2019, penalti sebanyak 15 peratus akan dikenakan.

Penalti sebanyak 80 peratus sehingga 300 peratus akan dikenakan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada akan dikenakan sekiranya pelaporan dibuat selepas program tamat iaitu pada 30 Jun 2019.

“Di bawah inisiatif Organisation for Economic and Co-Operation and Development (OECD) untuk meningkatkan ketelusan percukaian, Malaysia telah melaksanakan Pertukaran Maklumat Secara Automatik (AEOI) dengan pihak berkuasa percukaian lain untuk mendapat maklumat yang membolehkan audit dan siasatan,” katanya semasa membentangkan Belanjawan 2019 di Parlimen hari ini.

Dalam pada itu, Guan Eng berkata, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan meneliti dan menyiasat sebarang harta kekayaan luar biasa yang ditunjukkan melalui pemilikan barang-barang mewah seperti barang kemas, jam tangan, beg tangan, kereta dan hartanah bagi mendapatkan kembali sebarang wang tunai sama ada dalam bentuk cukai tambahan, penalti atau denda.

Dalam pada itu, kerajaan melalui LHDN juga akan melakukan beberapa pembaharuan cukai mengikut undang-undang seperti mengenakan Cukai Perkhidmatan terhadap servis yang diimport berkuatkuasa 1 Januari 2019 bagi memastikan penyedia perkhidmatan tempatan seperti arkitek, reka bentuk grafik, teknologi maklumat dan rekabentuk kejuruteraan mendapat persaingan yang lebih adil.

Contoh perkhidmatan ini termasuk perisian, muzik, video atau sebarang pengiklanan digital.-MalaysiaGazette