Dr. Jacob George

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan (MOF) diminta menjelaskan berhubung cadangan pemberian subsidi minyak bersasar yang didakwa kurang rasional.

Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam mendakwa cadangan itu tidak masuk akal kerana ia bersifat terbuka dan tertakluk kepada kapasiti kereta.

Presidennya, Datuk Dr Jacob George berkata, dalam arus permodenan dan kecanggihan teknologi terlalu banyak kereta mewah dihasilkan dengan kapasiti yang kecil tetapi harganya bukan murah.

Contohnya kereta BMW, Mercedes Benz, Audi, Ford, Mini dan lain-lain.

“Jadi, mekanisme apa yang telah diguna pakai oleh MOF dalam menentukan subsidi bersasar untuk petrol?,” soalnya.

Beliau berkata, tanyalah kepada mana-mana rakyat Malaysia, subsidi yang difahami selama ini adalah satu bentuk bantuan kepada golongan yang memerlukan.

“Apakah mereka yang mampu membeli kereta mewah mencecah beratus ribu layak menerima subsidi petrol ini kerana kereta itu berkapasiti 1500cc.

“Bagaimana pula dengan saya yang memandu kereta Mercedez Benz lapuk berkapasiti 2.4cc tetapi tidak mendapat subsidi?

“Dimanakah keadilan dan ketelusan dalam pemberian subsidi ini,” kata George sambil berharap MOF mendedahkan formula bagi cadangan tersebut.

Malah, beliau turut mempersoalkan di mana keadilan kepada kereta nasional Proton X70 (akan dilancarkan) yang berkapasiti 1.8 liter dan 2.0 liter.

“Tidak adil bukan, jika pembeli SUV ini terpaksa bayar lebih sedangkan mereka yang memandu kereta mewah lain tetapi berkapasiti 1,500cc menikmati subsidi,” tambah aktivis itu.

Lantaran itu, George berharap pelaksanaan subsidi bersasar bagi petrol ditangguhkan dahulu sehingga kajian mendalam dijalankan.

“Apabila kerajaan membentangkan sesuatu cadangan, sepatutnya kajian telah dilaksanakan dengan menyeluruh supaya ia tidak nampak canggung atau tersilap.

“Tetapi, jika sesuatu cadangan yang dibuat kelihatan tidak kena, tidak salah bagi kerajaan melihat semula.

“Ini kerana isu subsidi minyak bukan semata-mata untuk mengambil hati rakyat, sebaliknya ia perlu dilihat kepada kesan jangka panjang pada kehidupan rakyat secara keseluruhannya.

“Kalau lebih banyak positif tidak mengapa tetapi kalau banyak negatif semaklah semula,” katanya.

Semalam, dalam pembentangan Belanjawan 2019, Lim Guan Eng berkata, kerajaan akan memberi subsidi petrol RON95 sebanyak 30 sen seliter terhad kepada 100 liter sebulan bagi kereta dengan enjin 1,500cc atau 40 liter bagi
motosikal 125cc. – MalaysiaGazette