Lim Guan Eng
Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR- Pemilik kenderaan mewah berkapasiti 1500 cc ke bawah tetap tidak layak mendapat subsidi petrol seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2019 semalam.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menjelaskan, meskipun mekanisme pemberian subsidi bahan api itu masih dalam kajian namun beliau mengesahkan hanya golongan sasar yang layak menerima subsidi kerajaan itu.

“Pada mulanya kami bercadang untuk memberikan subsidi kepada golongan B40 sahaja kerana lebih mudah tetapi kita rasa capaiannya tidak begitu besar.

“Kerajaan masih mengkaji mekanisme pemberian subsidi petrol, berilah kami sedikit masa kerana pelaksanaannya adalah pada suku kedua tahun depan.

“Tetapi saya ingin tegaskan di sini kereta mewah jangan harap (untuk dapat subsidi),” katanya semasa sidang media di Parlimen di sini hari ini.

Semalam, tular di media-media sosial mengenai ketidakpuasan hati rakyat berhubung pengumuman pemberian subsidi petrol kepada kenderaan-kenderaan berkuasa 1500 cc dan ke bawah sahaja sedangkan terdapat kereta-kereta mewah yang berada di bawah kategori tersebut.

Bagi pemilik kereta tempatan seperti Proton Persona pula, mereka terpaksa menggigit jari kerana kereta berkenaan mempunyai enjin 1600cc walaupun dijual pada harga empat atau lima kali ganda lebih rendah berbanding kereta mewah seperti Mercedes, BMW atau Audi berkapasiti 1500cc.-MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan