Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz

KUALA LUMPUR- Kumpulan CIMB menyokong usaha kerajaan untuk mengurangkan pertindahan tugas di antara agensi dan syarikat-syarikat sama ada milik kerajaan atau swasta.

Ketua Eksekutif Kumpulannya, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata, kurangnya pertindihan dalam peranan dan tanggung jawab di antara kedua-dua sektor tersebut memberikan halatuju yang lebih jelas serta urustadbir yang lebih baik sekaligus dapat menarik lebih banyak pelaburan dalam negara.

Dalam Belanjawan 2019, kerajaan memberi mandat kepada Kementerian Kewangan untuk mengetuai Pasukan Petugas Khas untuk menilai peranan fungsi badan berkanun dan syarikat miliki Menteri Kewangan Diperbadankan bagi mengelakkan pertindihan tugas di antara sektor swasta dan kerajaan.

Dalam pada itu, beliau turut memuji Belanjawan 2019 sebagai satu belanjawan yang direka dengan berhati-hati dalam menyeimbangkan displin fiskal dan pertumbuhan.

Katanya, terdapat fokus yang lebih jelas diberikan dalam menyelesaikan isu-isu penting seharian selain keprihatinan terhadap penjagaan kesihatan rakyat berpendapatan rendah serta pemberian subsidi subsidi petrol dan elektrik, Bantuan Sara Hidup, Tabung Pelindungan Kesihatan Nasional B40 serta saringan kesihatan percuma kepada rakyat yang berusia lebih 50 tahun.

“Dengan sokongan yang holistik, mereka mampu meningkatkan taraf hidup dan menjadi lebih produktif,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Dasar-dasar dan insentif laun seperti memudahkan pemilikan rumah, pengukuhan prasarana fiber optik dan fokus untuk meningkatkan keupayaan wanita dalam alam pekerjaan, bantuan kepada warga emas dan kumpulan minoriti turut mendapat pujian CIMB.-MalaysiaGazette