Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bercakap pada sidang media berkenaan Belanjawan 2019 yang dibentangkan semalam pada sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen Malaysia, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 03 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR- Kerajaan Pakatan Harapan (PH) masih memberi penekanan kepada langkah-langkah untuk melakukan konsolidasi fiskal walaupun menyasarkan penurunan defisit lebih perlahan.

Menurut Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam sidang media hari ini, kerajaan mengambil langkah agresif untuk menurunkan defisit fiskal daripada 3.7 peratus tahun ini kepada kurang 3.4 peratus pada hadapan dan seterusnya turun kepada tiga peratus atau kurang.

Bagaimanapun, langkah-langkah tersebut perlu dilakukan secara berhati-hati supaya tidak mengabaikan kebajikan rakyat secara keseluruhan di samping dapat membantu mengukuhkan kedudukan ekonomi negara.

“Kami masih memberi fokus kepada konsolidasi fiskal tetapi kami berpendapat ianya tidak boleh dilakukan dalam tempoh yang singkat.

“Kami menyasarkan sekurang-kurangnya tiga tahun untuk mencapai defisit fiskal kurang tiga peratus.

“Rasanya, ini pun sudah agresif. Kerajaan mahu melakukannya dalam tempoh tiga tahun berbanding setahun kerana kami memutuskan bahawa kebajikan sosio-ekonomi harus diberi keutamaan.

“Di samping itu, langkah tersebut juga dapat membantu mengukuhkan ekonomi. Kita tidak mahu terlalu ‘mengikat perut’ sehingga menyebabkan kemelesetan ekonomi negara,” katanya sambil menambah pembayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan cukai pendapatan pada tahun depan dijangka dapat merangsang lagi ekonomi.

Semalam, agensi penarafan antarabangsa Moody’s menyifatkan Belanjawan 2019 yang pertama kali dibentangkan oleh kerajaan Pakatan Harapan adalah lambang berakhirnya trend pengurangan defisit fiskal secara kukuh.

Katanya, kadar defisit yang semakin melebar ditambah dengan kebergantungan kepada sumber minyak yang tidak menentu termasuklah dividen oleh Petronas bakal melemahkan kedudukan kewangan Malaysia dalam jangka masa terdekat.

Semasa pengumuman Belanjawan 2019, kerajaan meminta Petronas supaya membayar dividen sebanyak RM54 bilion termasuk dividen khas secara one-off sebanyak RM30 bilion.

Dalam perkembangan berbeza, Guan Eng memberi penjelasan mengenai pertambahan tinggi jumlah perbelanjaan mengurus pada Belanjawan 2019 berbanding peruntukan sebenar tahun 2018.

Menurut Ahli Parlimen Bagan itu, perbelanjaan mengurus sebanyak RM259.9 bilion atau 82.6 peratus daripada keseluruhan bajet 2019 adalah disebabkan pembayaran balik cukai GST dan cukai pendapatan berjumlah RM37 bilion.

Ia meningkat 10.4 peratus berbanding peruntukan perbelanjaan mengurus 2018.

Kerajaan memperuntukkan RM314.6 bilion bagi Belanjawan 2019 yang mana RM259.9 bilion adalah untuk perbelanjaan mengurus manakala baki RM54.7 bilion adalah untuk perbelanjaan pembangunan.- MalaysiaGazette