Menteri Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun bercakap kepada media selepas selesai pembentangan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat, Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 02 NOVEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan memperuntukkan sebanyak RM2 billion tahun hadapan bagi membiayai penuntut tajaannya yang melanjutkan pengajian di dalam dan di luar negara.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata jumlah pembiayaan berkenaan adalah sama dengan jumlah tahun ini.

“Daripada segi pendidikan, penyelarasan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan bajet-bajet yang kita dapat Alhamdulillah kita dapat seperti apa yang telah kita pohon. Itu akan menambahkan lagi mutu produk Mara itu sendiri,” katanya pada Bernama di Majlis Malam Apresiasi Mara 2018, di sini malam tadi.

Majlis berkenaan diadakan bagi meraikan pesara dan warga kerja Mara yang telah berkhidmat antara 25 hingga 40 tahun.

Terdahulu Rina dalam ucapannya berkata, Mara juga telah membelanjakan RM3.3 juta sehingga bulan Ogos tahun ini untuk pembiayaan kesihatan warga, anggota keluarga dan pesara Mara.

Kata Rina, ia jelas menunjukkan Mara sangat mengambil berat tentang hal kebajikan warganya termasuk golongan pesara dan anggota keluarga mereka.

“Kemudahan kebajikan yang dinikmati ini adalah kerana Mara sebagai majikan sangat menghargai komitmen dan dedikasi tuan-tuan dan puan-puan yang telah bersama-sama memikul tanggungjawab dalam melaksanakan dasar-dasar kerajaan demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

— BERNAMA