Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad diiringi barisan kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Majlis Presiden Pakatan Harapan di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP), Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 03 NOVEMBER 2018.
Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad diiringi barisan kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Majlis Presiden Pakatan Harapan di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP), Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 03 NOVEMBER 2018.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kelihatan ‘terkejut’ apabila ditanya mengenai gaji Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang lebih besar daripada gaji beliau.

Dalam nada berseloroh, Mahathir berkata, dia tidak mengetahui di mana Ahli Parlimen Bagan itu mendapat jumlah gaji sebesar itu.

“Saya tidak tahu. Gaji saya lebih banyak daripada gaji Menteri Kewangan. Di mana dia (Guan Eng) dapat gaji sebanyak itu, saya tidak tahu,” katanya sambil disambut ketawa daripada ahli kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) petang tadi.

Sementara itu, riak muka Guan Eng berubah apabila media mula bertanyakan soalan itu kepada Mahathir.

Sebelum ini, portal pengisytiharan harta anggota parlimen dan pentadbiran kerajaan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan gaji Guan Eng adalah yang tertinggi dalam kalangan ahli parlimen dan pentadbiran kerajaan PH.

Setiausaha Agung DAP itu mencatat gaji berjumlah RM86,464.92 sebulan.

Mahathir di kedudukan kedua dengan RM75,861.57 bersama-sama isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali.

Ia diikuti Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, (diri sendiri dan isteri) berjumlah RM73,576.15.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin (diri sendiri dan isteri) sebanyak RM72,276.37 dan Menteri Industri Utama, Teresa Kok (diri sendiri) sebanyak RM68,142.66.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Ismail berada di kedudukan kesembilan dengan pendapatan sebanyak RM 59,048.33 menerusi pendapatan dirinya dan suami. -MalaysiaGazette