Lembaga Hasil Dalam Negeri

KUALA LUMPUR – Program Khas Pengakuan Sukarela (Pengakuan Sukarela) boleh dibuat di mana-mana pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) di seluruh negara bermula pada 3 November 2018 dan akan berakhir
pada 30 Jun 2019.

Ketua Pengarah LHDNM, Datuk Sri Sabin Samitah berkata, ia ditawarkan kepada semua kategori pembayar cukai yang mana kadar penalti akan dikurangkan mengikut tempoh pengakuan sukarela dan bayaran cukai dibuat.

LHDNM berkata, melalui tawaran ini pembayar cukai akan dikenakan penalti yang lebih rendah iaitu antara 10% hingga 15% daripada amaun cukai yang kena dibayar berbanding kadar penalti yang lebih tinggi antara 80% hingga 300% selepas tempoh pengakuan sukarela tamat.

Pembayar cukai yang belum berdaftar dengan LHDNM dan belum mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) / Borang Nyata Petroleum (BNP) / Borang Nyata Cukai Keuntungan Harta Tanah (BNCKHT) bagi mana-mana tahun taksiran akan dikenakan 10 peratus jika bayaran penuh dibuat atau sebelum 1 April tahun depan.

Ia juga terpakai kepada pembayar cukai yang sudah berdaftar dengancLHDNM tetapi masih belum mengemukakancBNCP / BNP / BNCKHT bagi mana-mana tahun taksiran dan pembayar cukai yang sudah mengemukakan BNCP / BNP / BNCKHT tetapi tidak membuat perisytiharan cukai yang betul.

Tetapi jika selepas tempoh berkenaan sehingga 30 Jun 2019, pembayar cukai dikenakan penalti 15 peratus dengan bayaran penuh cukai.

Pembayar duti yang gagal menyelesaikan surat cara dalam tempoh sebelum 1 April pula dikenakan 10 peratus atau minimum RM50 dan selepas tempoh tersebut dikenakan 15 peratus atau minimum RM100.

Garis Panduan Operasi Bilangan 1 Tahun 2018 bertajuk Program Khas Pengakuan Sukarela Pelaporan Pendapatan / Keuntungan Pelupusan Aset/Penyeteman Surat Cara dan Peraturan Bayaran serta set soalan lazim berkaitan akan dimuat naik pada portal rasmi LHDNM di www.hasil.gov.my sebagai rujukan pembayar cukai.

Sebarang pertanyaan lanjut mengenai pengakuan sukarela ini boleh diajukan kepada Hasil Careline di talian 1-800-88-5436 atau 603-7713 6666 (Luar Negara) atau e-mel [email protected] – MalaysiaGazette